Bandar Sarikei yang terletak di tebingan Batang Rajang dan di pertengahan Sarawak, kira-kira 60 kilometer dari Sibu menjadikannya sebagai lokasi persinggahan terutama bagi mereka dari Kuching ke Sibu melalui jalan raya atau pengangkutan sungai. - Foto BERNAMA
Bandar Sarikei yang terletak di tebingan Batang Rajang dan di pertengahan Sarawak, kira-kira 60 kilometer dari Sibu menjadikannya sebagai lokasi persinggahan terutama bagi mereka dari Kuching ke Sibu melalui jalan raya atau pengangkutan sungai. - Foto BERNAMA

PREMIER Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dilaporkan mengingatkan pemimpin Kerajaan Campuran supaya memaklumkan lebih awal jadual lawatan mereka kepada kerajaan Sarawak sekiranya berhasrat mengadakan lawatan kerja ke negeri itu.

Setiap menteri dan timbalan menteri Pusat juga perlu memaklumkan setiap projek dirancang kementerian masing-masing di negeri itu.

Ia selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya semua menteri Pusat mematuhi protokol kerajaan Sarawak dan bekerjasama dengan pemimpin tempatan dalam pelaksanaan sesuatu projek.

Berdasarkan kepada prosedur dan protokol ini, ia secara langsung menimbulkan dilema dalam urusan pentadbiran antara Persekutuan dan Sarawak.

Pada peringkat Pusat, pemimpin DAP turut dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri dalam konteks Kerajaan Campuran, namun di Sarawak, DAP adalah pembangkang.

Kerajaan Campuran juga terdiri daripada pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkumi empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Komposisi parti menjadi kerajaan di Pusat dan Sarawak ini, sekali gus menimbulkan kekeliruan kerana apakah peranan DAP di Sarawak? Setakat hari ini, DAP tetap kritikal sebagai pembangkang berdepan kerajaan GPS. Ini adalah dilema dihadapi DAP Sarawak dan GPS. Kerajaan GPS jelas dengan peranannya sebagai parti pemerintah di Sarawak dan peranan DAP juga jelas di wilayah berkenaan.

Pendirian kerajaan Sarawak

Sebelum Abang Johari menegaskan pendirian kerajaan Sarawak, beberapa pemimpin GPS dilaporkan pernah mengingatkan beberapa timbalan menteri daripada parti pembangkang di Sarawak supaya merujuk kepada kerajaan negeri jika mahu melakukan lawatan rasmi ke negeri itu.

Justeru, boleh dijangkakan lawatan menteri atau timbalan menteri dari luar Sarawak dan daripada parti pembangkang pada peringkat wilayah khususnya DAP, akan dikenakan sekatan imigresen daripada kerajaan Sarawak.

Ahli politik, termasuk menteri perlu sedar kuasa untuk menyekat kemasukan orang dari luar Sarawak adalah hak mutlak kerajaan negeri dan tidak perlu sebarang alasan jika larangan memasuki negeri itu dikuatkuasakan.

Setakat ini, larangan lazim dikenakan terhadap pemimpin politik daripada memasuki Sarawak adalah untuk menjaga keharmonian rakyat negeri itu daripada 'dirasuk' unsur dan pengaruh tidak baik dari luar Sarawak.

Maka, pemimpin politik, termasuk menteri dan timbalan menteri mewakili Kerajaan Campuran perlu peka, akur dan prihatin kepada peruntukan undang-undang Sarawak ini dan tidak menjadikannya sebagai mainan politik mereka.

Ia bermaksud, walaupun sudah menjadi menteri atau timbalan menteri, itu bukan senjata untuk menggunakan kedudukan rasmi itu bagi memenuhi kehendak peribadi atau parti di Sarawak.

Seperti dijelaskan Abang Johari, menteri dan timbalan menteri Kerajaan Campuran perlu memaklumkan lebih awal program mereka ke Sarawak bagi membolehkan kerajaan negeri mengatur dan menyelaras lawatan mereka.

Diceduk daripada tulisan asal, Datuk Dr Jayum Jawan, Profesor Sains Politik di Universiti Putra Malaysia