NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Umno Kelantan ugut putus kerjasama dengan Amanah

Ia susulan kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad yang parti itu merayu kepada Agong supaya menolak permohonan pengampunan Najib Razak.
Ketua Penerangan Umno Kelantan Zawawi Othman mendesak Khalid Samad memohon maaf secara terbuka.

PETALING JAYA: Umno Kelantan pertimbang memutuskan kerjasama dengan Amanah negeri itu sekiranya Khalid Samad tidak menarik balik kenyataannya berhubung bantahan terhadap permohonan pengampunan kepada Najib Razak.

Semalam, Khalid yang juga pengarah komunikasi Amanah berkata pihaknya merayu agar permohonan pengampunan terhadap bekas presiden Umno itu ditolak.

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Zawawi Othman, berkata rayuan pengampunan dibuat terhadap Najib adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

“Umno Kelantan mendesak Khalid, merangkap pengerusi Amanah Kelantan memohon maaf secara terbuka kepada Umno lanjutan kenyataan beliau bahawa Amanah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya menolak permohonan pengampunan terhadap bekas perdana menteri Najib.

“Sehubungan itu Umno Kelantan akan mempertimbangkan untuk memutuskan kerjasama dengan Amanah di Kelantan sekiranya Khalid tidak menarik balik pernyataan tersebut yang ternyata amat menyinggung perasaan ahli Umno keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan.

Amanah merupakan komponen Pakatan Harapan (PH) yang mana gabungan itu membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno.

Khalid yang juga bekas menteri Wilayah Persekutuan berpandangan, pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara dan juga seluruh dunia berhubung sikap serta pendirian terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

Najib dipenjarakan tahun lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dalam kes SRC International.

Beliau didapati bersalah pada Julai 2020 atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang, dan pecah amanah berkait dana SRC berjumlah RM42 juta. Mahkamah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo