NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Memikirkan perubahan sikap Profesor Dr. Agus Yusoff

Apabila membaca tulisan Profesor Dr. Agus Yusoff yang disiarkan baru-baru ini, saya menjadi terkesima. Ia sepertinya bukan tulisan tulen beliau sebagaimana yang pernah saya baca suatu waktu dahulu. Ketika beliau sedang bersemangat mahu menghapuskan Umno-BN dari muka bumi politik Malaysia. Begitu bertenaga dan begitu berfakta sekali hujahan dan terkaman beliau terhadap Umno-BN.

Beliau diketahui tidak berpihak kepada mana-mana parti, tetapi yang paling pasti ialah tidak menyokong Umno. Sehinggalah terjadinya peristiwa cubaan rampasan kuasa di dalam kepimpinan PAS pada sekitar tahun 2015 (walaupun cubaan itu terjadi lebih awal lagi), iaitu tahun di mana segelintir pimpinan PAS ditendang keluar dari jemaah oleh perwakilan PAS yang bijaksana, beliau kelihatan mula menyerang PAS. Saya kurang pasti apa kaitan beliau dengan kumpulan itu.

Mengaku beliau dibesarkan sebagai seorang ahli keluarga yang menyokong PAS, tidaklah menjadi kepelikan di Kelantan atau Terengganu. Apa yang menyebabkan beliau tidak mahu menjadi ahli PAS, berkemungkinan besar kerana tidak pernah bersama bersusah payah dan tidak mendalami usrah-usrah PAS semenjak dahulu. Beliau sendiri mengakui ketidak terlibatan beliau dalam PAS. Jadi beliau tidak menjiwai perjuangan PAS.

Dalam pada itu tetaplah beliau menyokong PAS kerana kebobrokan Umno-BN yang memerintah sewaktu itu. Beliau sentiasa memuji PAS, penuh di mulut sewaktu PAS masih bersama PKR dan DAP. Pastinya kerana ketelusan pentadbiran PAS Kelantan, negeri tanah tumpah darah beliau, yang diketuai oleh almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang sayangi dan dihormati semua peringkat, kecuali Umno-BN yang menyatakan permusuhan jelas dengan allahyarham.

Tahun-tahun itu, perjuangan beliau ialah berkenaan tatakelola yang efisyen serta berintegriti sebagaimana PAS Kelantan laksanakan dalam pentadbiran. Tiada tolak ansur berkenaan rasuah kerana ia adalah amanah rakyat. Ya, beliau juga tidak menyukai sikap Umno-BN yang dikatakan sebagai rasis itu. Dan sebagai ahli pemikir, beliau sesekali mengkritik pembangkang, terutama berkenaan air dan prasarana di Kelantan. Tiada apa salahnya menegur, adakala diterima, adakalanya ditentang, itu biasa. Permasalahan air di Kelantan, sudah dimaklumi kenapa ia berlaku. Dan apabila dijawab oleh Dato' Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri KASA ketika itu, beliau tidak mahu menerimanya.
Kali terakhir temubual beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu masih pembangkang, berhadapan dengan isu kontroversi perbualan telefon dengan Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi. Pertanyaan Prof Dr. Agus, tidak dijawab oleh DS Anwar dengan sempurna. Bahasa badan Anwar, jelas menipu dan akhirnya, benar, Anwar dan Zahid, disebalik penafian demi penafian yang diberitahu kepada ahli, akhirnya bercantum bersama di bawah bumbung pentadbiran Kerajaan Persekutuan, tanpa ada sedikitpun rasa malu hatta pernah bersumpah atas nama Allah, tidak akan bersama.

Ironinya Prof Dr. Agus, saya lihat sebagai berpuashati dengan jawapan Anwar yang melencong jauh ke laut dalam dengan menerima pelawaan Anwar sebagai Pengarah JKOM Pusat. Ia ibarat terkena sihir nasi kangkang, menerima semua kenyataan tanpa bantahan, sehinggakan beliau terlihat bagaikan bertaraf profesor kangkung kerana nilai kritikan politik beliau sudah jatuh merudum. Tidak kelihatan lagi beliau tidak berpihak. Tiada lagi perjuangan kebencian beliau kepada Umno dan juga individu yang dituduh rasuah.

Sebaik sahaja beliau memasuki pejabat, antara perkara pertama yang dilakukan JKOM ialah berlawan dengan Pemuda PAS Terengganu berkenaan isu membawa replika senjata yang sehingga kini, tiada tangkapan atau pertuduhan dilakukan, hanyalah soal siasat sahaja. Dan Polis Terengganu juga menyatakan bahawa ia adalah satu bentuk perarakan dan pameran senjata Islam sahaja.

Kemudian tugas besar lain Prof Dr. Agus yang kita nampak ialah menyediakan sendiri naratif bagi menjawab bagi pihak PM, kenapa Raja Arab Saudi, Raja Salman dan anaknya Muhammad, tidak menyambut PM sewaktu mengadakan lawatan ke Saudi. Turunnya beliau sendiri bagi menjawab, menggambarkan JKOM tiada tenaga yang layak untuk mempertahankan PM dan kuatnya kepercayaan rakyat bahawa PMX tidak diraikan oleh Saudi.

Kemudiannya, beliau juga menjadi pensyarah bahasa, bagi menerangkan maksud perkataan yang diucapkan oleh PMX mengenai kedaulatan negara bersabit dengan keberadaan kuasa besar dunia China di perairan kita, sehingga mencetuskan kemarahan rakyat dimana ayat itu boleh disalah faham yang kita mengalah kepada China.

Dan kini setelah gagal meyakinkan rakyat, beliau mula menyerang PAS, bagi mengalihkan isu. Ini adalah taktik lama Umno-BN suatu ketika dahulu. Tidakkah pelik jika beliau menyatakan bahawa PAS sudah berubah prinsip tetapi dalam masa yang sama, PAS masih kekal dengan integriti dalam pentadbirannya tanpa rasuah? PAS tiada rekod jenayah, PAS mengekalkan hak kepada bukan Islam, malah ditambah jika ianya perlu diberikan. PAS mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang terdiri daripada berbagai kaum dan agama. PAS juga menyediakan beberapa kerusi bagi DHPP bertanding. 

PAS juga bersama Gerakan yang mana kita tahu bangsa manakah yang majoriti di dalamnya. PAS menghapuskan judi. PAS tidak memberikan jawatan kepada individu yang sedang menghadapi kes di mahkamah, wakil rakyat PAS masih dianiaya dengan dinafikan peruntukan, royalti masih belum diberikan kepada Kelantan, dalam masa yang sama, ugutan pernah diberikan kepada Terengganu untuk menafikannya. PAS memberikan peruntukan sama rata kepada pembangkang di Terengganu PAS tidak mengugut pembangkang. Dan paling diingati, PAS tidak pernah menyokong pemecatan almarhum Tan Sri Khalid yang terbukti difitnah itu. Majoriti kebaikan PAS ini, tidak dilaksanakan oleh PH. Jadi, siapa yang berubah?

Sayang seribu kali sayang, Prof Dr. Agus hanya dapat melihat isu seputar yang memberikan keuntungan kepada survival jawatan beliau sahaja, bagi mempertahankan PMX. Kata beliau, beliau tidak menjadi ahli PAS, tetapi mungkin lebih baik beliau nyatakan semenjak bila beliau telah menjadi ahli PKR atau DAP ataupun Pan. Kerana bagi saya, orang yang sering mendakwa sebagai tidak berparti, mengkritik semua orang ini adalah spesis manusia yang lebih teruk daripada politikus pembelit kerana hipokrit mereka menjadi lebih hebat, untuk makan kiri dan kanan.

Prof Dr. Agus ibarat seorang juru make-up kepada seorang yang berwajah yang amat hodoh dan menggerutu. Beliau terpaksa menggunakan segala perkakasnya bagi menampakkan seri di wajah pelanggannya dan memaksa orang memuji kecantikan pelanggannya sebagai asli. Sedangkan ramai orang tahu siapa pelanggannya itu kerana dahulu kami pernah sekampung, bermain bersama-sama, bekerja bersama-sama dan kita tidak menghina kehodohan si dia itu. Namun sekarang, make-up yang dipakai itu cukup tebal, hanya mahu menipu dan memukau orang lain. Tetapi tidak bagi kami dan rakyat yang cerdik yang sudah mengenali wajah di sebalik make-up itu. Sekarang inipun rakyat sudah dapat melihat wajah asalnya.

Oh ya, sebelum saya lupa, harap juga Prof singgah di Twitter bagi melihat carut marut, caci maki, sumpah seranah penyokong PH dalam komen-komen bagi mempertahankan pimpinan mereka yang terkadang dilihat sebagai komen dari orang bukan Islam pula layaknya, walaupun bernama Melayu Islam. Saya takut itu arahan JKOM, supaya menggunakan gaya bahasa yang sangat jelek itu. Saya hanya mampu ketawa bilamana Prof menyatakan bahasa yang digunakan oleh penyokong PAS sangat teruk. Konon nak 'play victim' lah tu.

Mohd Nasir Abdullah
28 April 2023

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo