NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Siasatan SPRM atas kes Zahid beri gambaran buruk pada peguam negara, kata Abu Talib

Bekas peguam negara Abu Talib Othman (kiri) berkata, siasatan lanjut SPRM berhubung kes jenayah Ahmad Zahid Hamidi ‘tidak bermakna’ kerana kes prima facie telah pun dibuktikan.


KUALA LUMPUR: Seorang bekas peguam negara berkata, siasatan lanjut yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes jenayah Ahmad Zahid Hamidi memberikan gambaran buruk pada peguam negara semasa, Idrus Harun.

Abu Talib Othman berkata, pihak pendakwaan telah pun membuktikan kesnya terhadap Zahid tahun lepas selepas presiden Umno itu diperintahkan membela diri atas semua tuduhan yang dihadapinya.

“Kes prima facie wujud kerana pihak pendakwaan telah membuktikan unsur dalam semua tuduhan,” katanya.

“Apa lagi yang perlu disiasat lebih lanjut? Melainkan ada sebab lain yang hanya boleh menjadi spekulasi. Pada pandangan saya, ini memberikan gambaran buruk pada peguam negara semasa.”

Abu Talib, yang menjadi peguam negara dari 1980 hingga 1993, berkata demikian selepas perbicaraan Zahid ditangguhkan berikutan representasi yang dibuat oleh pihak pembelaan awal tahun ini.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memaklumkan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah pada Isnin bahawa representasi itu hanya boleh disemak oleh peguam negara selepas SPRM menyelesaikan siasatan.

Peguam Zahid telah menghantar dua set representasi kepada pihak pendakwaan untuk pertimbangan; yang pertama pada Januari, diikuti satu lagi pada Februari.

Malik berkata, representasi itu setebal kira-kira 200 muka surat dan pihak pendakwaan memerlukan masa untuk menelitinya kerana ia membangkitkan isu yang rumit.

Sequerah membenarkan perbicaraan ditangguhkan selepas Malik berkata beliau diarahkan oleh Idrus supaya tidak membantah permintaan itu.

Abu Talib berkata, unsur representasi bukanlah alasan yang baik untuk menangguhkan kes kerana keadilan dalam perbicaraan jenayah adalah untuk kedua-dua tertuduh dan orang awam.

“Menurut Perlembagaan Persekutuan, peguam negara mempunyai budi bicara mutlak untuk menarik balik kes itu, (jika gagal) beliau harus meneruskan (perbicaraan) kerana semua keterangan telah dikemukakan di mahkamah apabila pembelaan dipanggil,” katanya.

Beliau juga berkata, pentadbiran keadilan sewajarnya tidak harus dihalang oleh penangguhan.

Sementara itu, peguam, Syed Iskandar Syed Jaafar berkata, Zahid hanya perlu menyanggah dan menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan untuk mendapatkan pembebasan.

“Sebarang siasatan lanjut oleh SPRM selepas pembelaan dipanggil tidak bermakna,” katanya.

Tambahnya, Idrus, sebagai penjaga kepentingan awam, mesti bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih apabila menjalankan tugasnya.

Perbicaraan ditetapkan sementara untuk disambung semula pada 1 hingga 3 Ogos, 7 hingga 10 Ogos, dan antara 21 dan 24 Ogos.

Pendengaran lanjut juga ditetapkan pada September hingga Disember.

Pada 2 Nov tahun lepas, hakim menangguhkan kes kepada 16 Jan sementara menunggu keputusan rayuan Zahid kepada Mahkamah Rayuan berhubung permohonannya mendapatkan keterangan saksi yang dirakam oleh SPRM.

Bagaimanapun, Zahid tidak meneruskan rayuan itu.

Tidak dimaklumkan di mahkamah terbuka mengapa perbicaraan yang dijadualkan pada 16 Jan itu ditangguhkan.

Pihak pembelaan telah memanggil enam saksi setakat ini.

Zahid didakwa atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi, serta menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.

Dua belas daripada tuduhan itu berkait pecah amanah, manakala lapan untuk rasuah dan baki 27 lagi membabitkan pengubahan wang haram.


Sumber I FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo