NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sanusi: Anti-thesis Anwar Ibrahim

Sanusi: Anti-thesis Anwar Ibrahim

SEMENJAK Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri, akan ada saja pertembungan antara dua susuk ini. Pasti ada sahaja serangan yang Sanusi perlu hadap.

Ini adalah pemerhatian empirikal saya sahaja, bagi saya situasi ini bukan soal pertembungan politik sahaja. Sebenarnya ia lebih unik. Ia adalah pertembungan psikologi dan minda separa sedar antara dua insan. Sanusi mewakili segalanya yang bertentangan dengan Anwar Ibrahim.

Tidak keterlaluan kalau kita katakan, politik Sanusi adalah anti-thesis kepada politik Anwar Ibrahim.

i) Politik oratorisme.

Sanusi bukanlah orator sehebat Anwar Ibrahim. Tiada jargon, janji populis atau kalimah bombastik dilontarkan. Cuma bahasa kampung yang ringkas disampaikan. Di mana beliau berucap, beliau akan berucap dalam bahasa audien. Jika di Sik, maka loghat Siklah yang keluar. 

Berbeza dengan Perdana Menteri ke-10 (PMX). Ucapan beliau wajib diiringi dengan kalimah Melayu klasik yang dipandang hebat oleh pengikut beliau. Sekali beliau berucap pasti tidak kurang puluhan tokoh-tokoh dipetik. Sebut sahaja siapa, Ortega, Kant, Ismail Faruqi, Ganouchi dan lain-lain. Hatta dalam pembentangan Belanjawan pun beliau pasti bersyarah.

Tidak pula Sanusi, kalau lagi ringkas lagi bagus. Selagi boleh bergurau pasti beliau bergurau. Sehinggakan Sanusi pernah ditegur oleh sesetengah pihak supaya lebih ‘formal’ kerana bimbang diputar belit media. 

Namun dalam santai-santai Sanusi, beliau tidak berbohong atau berjanji kosong. Pasti ada kebenaran dan fakta.

ii) Aksi dulu baru ekspresi.

Masihkah kalian ingat video ‘hari ini menang esok minyak turun?’

Masih ingat kalimah ‘parti ini parti derita?’ Tauke besar tidak bersama kita?’

Masih ingat kalimah melawan korupsi habis habisan 100 peratus?

Masih ingat siri-siri demonstrasi dan ucapan hak kebebasan yang dipelopori beliau?

Sayang aksi Anwar Ibrahim acap kali dipermainkan ekspresi beliau sendiri.

Anwar orator yang sangat hebat. Mungkin faktor ini menyebabkan ada masanya ekspresi beliau mendahului aksi. Tidak kurang juga aksi beliau akhirnya menjadi kontradik dengan ekspresi beliau yang dahulu.

Sanusi pula? Aksi menjadi taruhan utama beliau, lantaran beliau tahu beliau bukan orator yang berseni seperti PMX.

Kejayaan membawa pulang hampir RM68.3 bilion pelaburan dalam masa 2 tahun bukanlah perkara yang Sanusi hebohkan dari awal.

Sanusi tidak mencanangkan politik matang ke sana ke sini (tetapi dalam ucapan tetapi dalam aksinya menekan pembangkang). Sanusi sebaliknya berlaku adil kepada musuh politik. Segala projek kerajaan lama diberikan kredit dan diteruskan. Contohnya projek KXP yang merupakan idea asal Menteri Besar terdahulu, Sanusi tiada masalah mengakui hal ini.

Sanusi tahu beliau membawa imej parti Islam. Meskipun beliau bukan seorang ustaz dan tidak mencanangkan diri beliau sebagai terpaling Islam. Gejala yang merosakkan masyarakat serta diharamkan agama seperti judi telah Sanusi haramkan di Kedah.

Aksi dulu baru ekspresi. 

iii) Imej di mata rakyat.

Anwar Ibrahim lahir dari rahim keluarga orang besar. Ayah beliau adalah tokoh besar Umno di Permatang Mauh. Dato Ibrahim ialah bekas Ahli Parlimen Seberang Tengah. Bukan semua orang boleh jadi Ahli Parlimen.

Meskipun Anwar Ibrahim seorang pejuang marhaen miskin. Tetapi beliau sebenarnya bukan marhaen miskin. Beliau adalah intelektual yang diberikan kesedaran untuk memperjuangkan nasib marhaen.

Apabila PMX melawan tauke besar, PMX hanya menyentuh tauke yang rupanya banyak membantu pesawah miskin dan orang miskin. Kapitalis lain mungkin PMX sentuh selepas ini. Kita masih menunggu.

Sanusi pula memang lahir dari keluarga marhaen orang kampung miskin. Dibesarkan ibu ayah beliau bersama 13 adik beradik lain. Nasi lauk garam adalah menu harian. Untuk mandiri di alam universiti, Sanusi bekerja sebagai buruh. Seluar yang dipakainya sewaktu menjadi buruh, seluar itulah juga yang dipakainya sewaktu belajar dalam bilik kuliah sebagai mahasiswa. 

Sanusi tahu benar keadaan petani miskin di Kedah, kerana beliau sendiri bekas petani miskin. Beliau tahu kepentingan jelapang padi di Kedah. Barangkali sebab itu diusahakan idea baharu tanam padi 5 kali setiap 2 tahun. Barangkali sebab itu juga beliau berjaya menemui cara untuk menamatkan kartel padi yang berdekad lamanya mencengkam petani miskin.

Sanusi menyantuni rakyatnya dengan politik khidmat. Beliau kisah membuat kerja renyah. Dan apabila sebut perkataan buat maksudnya memang betul beliau buat. Bukan berlakon buat. Beliau tidak kisah mengotorkan baju membersihkan rumah mangsa banjir, beliau okey sahaja membawa traktor membersihkan kawasan mangsa banjir.

PMX pula menyantuni rakyat dengan idealisme dan pidato intelektual beliau. Ke mana beliau singgah pasti dihidangkan santapan pidato penuh isi dan semangat oleh beliau. Anwar Ibrahim amat cocok dengan imej syarahan ilmiah di dalam dewan yang besar di hadapan orang-orang besar. PMX boleh berucap memperjuangkan nasib petani miskin sehinggakan wujudnya demonstrasi Baling. Tetapi pernahkah PMX memakan nasi dengan lauk garam?

iv) Honesty is the best policy.

Sanusi punya pembawakan adalah berkata yang benar lagi-lagi terhadap musuh. Kebiasaannya, musuh amat takut dengan perkara benar lagi-lagi apa saja perkara yang tidak menguntungkan musuh.

Berbeza dengan PMX yang penuh kata-kata keseniaan berpolitik. Beliau bisa meyakinkan ramai pihak. Imej beliau boleh masuk dengan semua kelompok. Begitu inklusif.

Beliau boleh bersyarah, mengajar agama dan dalam tempat dan audien berbeza pula beliau boleh menyanyi dengan hebat dan menari dengan penuh energetik.

Di hadapan media antarabangsa beliau boleh mengucapkan ‘I support all efforts to protect the security of the state of Israel.’, dan di hadapan orang Melayu Islam beliau akan berucap soal membantu Melayu Islam. 

Orang Melayu kata lain padang lain belalang. Itulah beza Sanusi dengan Anwar Ibrahim. Seorang penuh ‘versatile’, manakala seorang lagi hanyalah kekampungan yang tidak reti berbasa basi.

Maka, itulah antara perumpamaan yang sempat saya perhatikan. Betapa dua individu ini adalah begitu bertentangan. Sebab itu apa saja Sanusi buat pasti menyakitkan jiwa PMX. Kerana minda separa sedar jiwa PMX dapat merasakan sosok tubuh Sanusi adalah sosok tubuh yang tidak dapat diterima setiap sel tubuh Anwar Ibrahim.

Sekadar teori di malam hari.

UTHMAN CHE AZIZ
Projek Anak Muda Islam PAMI

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo