Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbezaan parti politik yang memerintah di negeri itu dan peringkat persekutuan bukan halangan untuk bekerjasama. (Gambar Bernama) |
PETALING JAYA: Kerajaan negeri Terengganu mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri menerusi penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani sempena Aidilfitri, kata menteri besarnya, Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ahmad Samsuri berkata, pihaknya sedia menghulurkan bantuan untuk menjayakan majlis rumah terbuka berkenaan yang dijadualkan pada 13 Mei ini.
“Walau apa pun objektif (atau) yang ingin dicapai oleh pihak (kerajaan) persekutuan, kami (kerajaan negeri Terengganu) sangat terbuka dan mengalu-alukan kedatangan rombongan perdana menteri dan semua anggota Jemaah Menteri untuk berhari raya di Terengganu,” katanya.
“Kita cuba buktikan bahawa kita di Terengganu walaupun berbeza parti politik yang memerintah di negeri dan persekutuan, tetapi kita sesekali tidak menganggap ia sebagai satu halangan untuk bekerjasama.
“Jadi sila datang, InsyaAllah kita raikan sebagai tetamu yang istimewa,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar di Seri Iman, Kuala Terengganu hari ini, lapor Berita Harian.
Sebelum ini dilaporkan bahawa buat julung kalinya tahun ini, majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri akan diadakan di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Pada tahun-tahun sebelum ini, rumah terbuka Aidilfitri anjuran perdana menteri diadakan pada 1 Syawal di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Anwar akan turut menghadiri tiga lagi majlis serupa yang dianjurkan masing-masing oleh kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Apabila ditanya sama ada kedatangan perdana menteri itu bertujuan meraih undi bagi menghadapi PRN, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya menyerahkan kepada masyarakat untuk membuat penilaian dan tafsiran sendiri.
“Terpulang pada tafsiran semua orang tetapi kita di peringkat negeri Terengganu, InshaAllah kita mengalu-alukan kehadiran mereka,” kata beliau, yang juga Naib Presiden PAS.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment