NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengampunan Najib: Aliran mahu Anwar tarik diri



Pertubuhan Aliran berpendapat Anwar Ibrahim wajar menarik diri daripada sebarang pembabitan dalam lembaga pengampunan yang meneliti permohonan membebaskan Najib Razak.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, jawatankuasa eksekutir badan itu berkata Anwar boleh berada dalam keadaan memiliki konflik kepentingan dalam isu tersebut. 

Kata Aliran, selepas PRU pada Nov tahun lalu ramai yang menganggap perdana menteri ke-10 itu berada di bawah tekanan untuk menggunakan pengaruhnya bagi membebaskan bekas presiden Umno berkenaan.

"Kami berharap bukan itulah yang berlaku, namun begitulah tanggapan yang wujud di luar sana dalam kalangan sesetengah pihak," katanya.

Aliran juga melihat Umno begitu tergesa-gesa mendesak agar untuk mendapatkan "pengampunan awal bagi penjenayah, Najib Razak" menggunakan hujah seorang daripada 14 hakim yang meneliti kes tersebut.

Siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pula, menurut Aliran, menunjukkan agensi terbabit sudah melangkaui bidang kuasa yang ada padanya.

"Sungguh ironis apabila SPRM berpendapat mereka wajar untuk terlibat di dalam hal ini (siasatan ke atas hakim Mohd Nazlan) apabila ketuanya sendiri, Azam Baki, masih terperangkap dalam kontroversi yang tidak dapat diselesaikan berhubung pembelian sahamnya. 

"Kontroversi ini sangat mencemarkan nama baik SPRM," katanya.

Berikut adalah kenyataan penuh Aliran:

Umno nampaknya tergesa-gesa untuk mendesak pengampunan awal bat penjenayah, Najib Razak, menggunakan hanya satu perbezaan pendapat dalam keputusan bersalah oleh 13 hakim lain di mahkamah tinggi, Mahkamah Rayuan serta dalam dua panel Mahkamah Persekutuan.

Kami bimbang dengan perkembangan semasa yang kelihatan seperti kempen bersepadu dalam memanipulasi fakta dan maklumat yang salah tentang bagaimana sistem pentadbiran keadilan berfungsi, serta percubaan menjejaskan kemuktamadan proses di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Pertama sekali, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak sepatutnya terlibat menyiasat hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali atas dakwaan percanggahan kepentingan.

Menteri undang-undang, Azalina Othman, perlu menjelaskan keadaan itu. Peguam Najib menegaskan bahawa dalam jawapan Azalina - pada 20 Mac lalu - kepada Muhammad Shafee Abdullah, menteri terbabit menyatakan bahawa “jawapan kepada soalan (yang telah diujarkan) adalah afirmatif”.

Shafee telah mengemukakan tiga soalan dalam suratnya bertarikh 15 Mac, termasuklah sama ada Mohd Nazlan mempunyai percanggahan kepentingan.

Namun, sebarang siasatan terhadap hakim yang telah mensabitkan Najib sepatutnya diserahkan kepada badan kehakiman yang mempunyai prosedur serta kod etika sendiri.

Putar belit tertutup

Pada 24 Feb semua tujuh hakim dalam panel di Mahkamah Persekutuan - diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat - memutuskan bahawa siasatan SPRM terhadap Mohd Nazlan telah mengabaikan kebebasan dan protokol kehakiman.

Itu jelas menunjukkan SPRM telah melampaui bidang kuasanya. Sungguh ironis apabila SPRM berpendapat mereka wajar untuk terlibat di dalam hal ini apabila ketuanya sendiri, Azam Baki, masih terperangkap dalam kontroversi yang tidak dapat diselesaikan berhubung pembelian sahamnya. Kontroversi ini sangat mencemarkan nama baik SPRM.

Umno tidak seharusnya memintas dan membuat permohonan pengampunan sekarang dengan mendapatkan temu janji dengan Yang di-Pertuan Agong. 

Perkara itu harus diserahkan kepada lembaga pengampunan dan harus mengikut laluan biasa, bukannya jalan pintas.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula harus menarik diri daripada sebarang pembabitan dalam lembaga pengampunan kerana beliau sendiri boleh berada dalam keadaan percanggahan kepentingan.

Banyak selok-belok dan putar belit yang berlaku secara tertutup selepas PRU pada Nov tahun lalu. 

Ramai yang mengatakan wujud kemungkinan Anwar telah ditekan untuk menggunakan pengaruhnya dalam memohon pengampunan Najib sebagai balasan kepada kerjasama Umno dalam kerajaan perpaduan Anwar. 

Kami berharap bukan itulah yang berlaku, namun begitulah tanggapan yang wujud di luar sana di kalangan sesetengah pihak.

Kami perhatikan bahawa pendapat umum sangat menolak pengampunan terhadap Najib dengan kira-kira 140,000 sudah pun menandatangani petisyen menentang pengampunan itu (bagi menandatangani petisyen) dengan hanya kurang daripada 10 peratus daripada yang menandatangani itu menyokong Najib dibebaskan (dalam petisyen lain).

Kami menggesa semua pihak untuk berhenti memberikan tekanan bagi Najib untuk dibebaskan awal. Keadaan itu hanya akan mengakibatkan kemudaratan yang tidak terkira kepada imej antarabangsa Malaysia serta keyakinan pelabur.

Ingat, ini adalah sebahagian daripada skandal kewangan terbesar di dunia. Ia sangat mencemarkan imej negara dan membebankan Malaysia dengan hutang yang sangat besar.

Wang itu sepatutnya boleh digunakan untuk meringankan penderitaan berjuta-juta rakyat biasa.

Ancam imej kerajaan Anwar

Pengampunan untuk Najib akan menghakis keyakinan terhadap proses kehakiman, menjejaskan kedaulatan undang-undang dan mempersendakan pentadbiran keadilan di Malaysia.

Ia bukan sahaja akan menjadi duluan (precedent) yang berbahaya, ia juga akan mempunyai kesan serius terhadap bagaimana undang-undang itu dilihat.

Ia akan memberi tanggapan bahawa jenayah kolar putih yang serius – walaupun melalui proses yang ketat melalui sistem perundangan Malaysia, melibatkan tempoh perbicaraan yang bertahun-tahun lamanya serta melibatkan sumber negara yang besar – boleh diampunkan dengan mudah hanya kerana status ‘kayangan’ seseorang penjenayah itu.

Ia akan menjadi sebuah kemenangan dalam percubaan memanipulasi serta pengolahan maklumat salah yang cuba menjejaskan keyakinan terhadap badan kehakiman.

Ia juga akan menghancurkan imej pentadbiran Anwar sebagai kerajaan reformis yang telah meletakkan sasaran bagi meningkatkan tadbir urus yang baik serta membaiki kerosakan besar yang berlaku pada masa lalu.

Diharapkan keadilan dan kebijaksanaan akan berlaku.


Sumber I Malaysiakini 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo