SUNGAI PETANI – Dengan gendang pilihan raya sekali lagi kedengaran, pencaturan parti-parti politik khususnya dalam soal pengagihan kerusi juga semakin rancak.

Di Kedah, masing-masing MCA dan MIC mengintai kerusi tertentu, tetapi mereka perlu melalui banyak liku sebelum boleh bertanding.

Kwong Wah Yit Poh melaporkan, MCA antaranya perlu mendapat restu Ketua UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid jika parti itu mahu bertarung di empat “kerusi tradisi” iaitu Kota Darul Aman, Bakar Arang, Kulim dan Gurun.

Sebagai rekod, MCA berjaya mempertahankan kerusi Gurun pada 2008, tetapi selain daripada kejayaan itu, MCA Kedah mengalami kekalahan di semua kerusi lain sejak 2008.

Semua empat “kerusi tradisi” yang diintai MCA Kedah adalah disandang oleh PH pada masa ini.

Rundingan mengenai kerusi oleh BN Kedah pula dijangka diadakan selepas Aidilfitri dan mereka akan mengemukakan cadangan kepada pusat selepas itu,

Walau bagaimanapun, DAP dan PKR dijangka tidak akan memberi laluan mudah kepada MCA atau MIC untuk bertanding.

Susulan daripadanya, MCA dijangka hanya berpeluang untuk merebut tiket bertanding di kerusi Sidam yang dimenangi Robert Ling Kui Ee dari PKR sebelum meninggalkan parti itu dan menyertai PN.

Bagaimanapun, PKR juga dilaporkan mempunyai calon pilihan sendiri di Sidam.

Dalam pada itu, keadaan MIC juga dilaporkan sukar kerana parti itu kehilangan dua “kerusi tradisi” iaitu Lunas dan Bukit Selambau sejak 2008.

Parti itu dilaporkan “menyerah kepada pemimpin BN dan PH” untuk memutuskan sama ada mereka boleh bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang. – MalaysiaGazette