KUALA LUMPUR – UMNO menjadi satu unsur penting dalam mementukan ketahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Veteran DAP Lim Kit Siang berkata, kedudukan Anwar ditentukan sama ada UMNO dapat memainkan peranan penting untuk menetapkan semula dan mengembalikan negara kepada prinsip-prinsip asal pembinaan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.
“Prestasi buruk UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 menjadi bukti bahawa kepercayaan yang pengundi Melayu akan kekal setia dengan Bossku walaupun selepas disabitkan dengan pelbagai pertuduhan berkaitan dengan 1MDB adalah satu kesilapan.
“Kerana sekiranya perkara ini betul, UMNO sepatutnya menyaksikan kebangkitan dan bukannya kekalahan besar dalam pilihan raya umum pada November tahun lepas,” kata Kit Siang.
Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, pilihan raya di enam negeri pada bulan Julai atau Ogos ini juga akan memberikan kesan yang besar kepada ketahanan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.
Keputusan pilihan raya di Pulau Pinang, Selangor, Negri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu menjadi ujian besar kepada Anwar yang akan menentukan sama ada beliau akan kekal menjadi perdana menteri untuk sepenuh penggal lima tahun.
“Sekiranya saya diminta untuk memberikan markah kemungkinan Anwar untuk kekal sebagai Perdana Menteri ke-10 sekarang, saya akan berikan angka-angka seperti berikut:
“90% kemungkinan Anwar bertahan sebagai Perdana Menteri untuk setahun; 80% kemungkinan Anwar bertahan sebagai Perdana Menteri untuk tiga tahun.
“Dan 70% kemungkinan Anwar bertahan sebagai Perdana Menteri untuk penggal penuh lima tahun,” katanya.
Markah tersebut mengambil kira kegagalan pimpinan Perikatan Nasional (PN) di Parlimen untuk menjalankan tanggungjawab mereka.
Tambah Kit Siang, markah itu juga mengambil kira kegagalan pemimpin PN untuk menyahut titah Yang di-Pertuan Agong semasa istiadat Pembukaan Parlimen ke-15 bahawa Malaysia memerlukan kestabilan politik untuk berjaya sebagai sebuah negara.
Markah tersebut juga dakwa Kit Siang, berdasarkan peranan pemimpin PM dalam merosakkan perpaduan negara dengan mempolarisasi negara melalui retorik penipuan perkauman dan keagamaan.-MalaysiaGazette
No comments
Post a Comment