Kerajaan bersetuju tarikh pembayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) Tahun 2023 kepada pegawai perkhidmatan awam dan pesara kerajaan diawalkan dari 17 April kepada 14 April ini. - Foto hiasan
Kerajaan bersetuju tarikh pembayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) Tahun 2023 kepada pegawai perkhidmatan awam dan pesara kerajaan diawalkan dari 17 April kepada 14 April ini. - Foto hiasan

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju tarikh pembayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) Tahun 2023 kepada pegawai perkhidmatan awam dan pesara kerajaan diawalkan dari 17 April kepada 14 April ini.

Menerusi surat edaran bertarikh hari ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed memaklumkan perubahan tarikh itu mengambil kira keprihatinan dalam membantu meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan dalam membuat persediaan bagi menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

"Sukacita dimaklumkan bahawa, mengambil kira keprihatinan dalam membantu meringankan beban penjawat awam dan pesara Kerajaan Persekutuan dalam membuat persediaan untuk menyambut perayaan tidak lama lagi, kerajaan telah bersetuju untuk membuat perubahan ke atas tarikh pembayaran BKKA Tahun 2023 kepada pegawai perkhidmatan awam dan pesara kerajaan daripada 17 April 2023 kepada 14 April 2023," menurut surat edaran itu.

Datuk Dr Zulkapli Mohamed.
Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Surat itu juga memaklumkan arahan berkenaan pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan, tertakluk kepada penerimaan pakai oleh pihak berkuasa masing-masing.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemberian BKKA adalah satu langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu penjawat awam membuat perancangan dan persiapan awal bagi menyambut Aidilfitri.

Semua penjawat awam gred 56 ke bawah yang masih berkhidmat sehingga 17 April 2023 termasuk lantikan kontrak akan menerima RM700 manakala BKKA sebanyak RM350 pula akan diberikan kepada pesara perkhidmatan awam. - BERNAMA