NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan boleh jana lebih RM4b jika naikkan cukai rokok

Kerajaan dikatakan boleh menjana lebih banyak pendapatan hasil cukai rokok berbanding cukai ke atas cecair vape. - Foto hiasan


KUALA LUMPUR: Kerajaan boleh menjana lebih RM4 bilion setahun daripada kutipan cukai rokok jika kadar cukainya dinaikkan, iaitu pendapatan yang lebih tinggi berbanding hasil cukai yang bakal diperoleh daripada industri vape.

Setiausaha Agung Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Muhammad Sha'ani Abdullah, berkata 

jika benar langkah kerajaan melaksanakan cukai untuk vape seperti yang diumumkan, baru-baru ini, adalah untuk meningkatkan kutipan hasil negara, kenaikan cukai rokok tidak sepatutnya dihentikan sejak lapan tahun lalu.

"Cukai rokok ini sudah dihentikan kenaikan sejak lapan tahun dulu, yang mana kita setuju kutipan itu akan dapat memberikan hasil lebih banyak kepada kerajaan.

"Namun, syarikat pengeluar rokok mendakwa lebih 60 peratus rokok yang dijual di pasaran adalah rokok haram atau rokok seludup. Jadi, jika kita boleh banteras rokok seludup dan rokok haram, kita boleh tingkatkan hasil cukai.

"Jika kita dapat kurangkan kepada 30 peratus pun, kita boleh menjana mungkin RM4 bilion lagi sebagai kutipan cukai. Ini lebih tinggi berbanding dengan apa yang kita boleh dapat daripada vape ini," katanya kepada BH. 

Beliau mengulas mengenai pelaksanaan cukai ke atas penjualan cecair vape pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) bagi rokok elektronik dan vape, yang mempunyai kandungan nikotin, berkuat kuasa pada Sabtu. 

Pelaksanaan cukai itu diumumkan menerusi satu notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat lalu.

Berdasarkan notis warta itu, duti baharu itu berkuat kuasa berikutan bermulanya Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2023.

Kerajaan turut mewartakan tampalan, cecair dan gel nikotin untuk membantu menghentikan tabiat merokok, serta cecair vape, dikecualikan daripada Akta Racun 1952. 

Berdasarkan notis yang dikeluarkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, pada Jumaat lalu, warta itu adalah sebahagian daripada Perintah Racun Pindaan Senarai Racun 2023.

Muhammad Sha'ani berkata, turut mempersoalkan hujah kerajaan yang pelaksanaan cukai untuk vape itu bertujuan membantu peniaga vape yang kebanyakannya Bumiputera dan menyifatkannya tidak berdasarkan fakta sebenar. 

"Benarkah pengusaha Bumiputera yang ramai dalam penjualan vape ini? Kerajaan boleh semak siapa pemilik syarikat vape yang ada di negara ini. Segala maklumat ini boleh didapati daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), termasuk siapa pembekal, pemegang saham, pengarah syarikat dan kita boleh tahu sebenarnya kedudukan industri ini.

"Saya bimbang mereka sengaja menggunakan nama orang Melayu, yang sekadar 'Ali Baba' untuk membolehkan perundangan diubah sesuka hati, dengan menggunakan data ini sebagai alasan membantu Bumiputera," katanya. 

Beliau menegaskan, pakar kesihatan dan racun juga menolak pengecualian cecair nikotin untuk vape dalam Akta Racun 1952.

Jelasnya, masalah merokok dan penggunaan vape serta dadah adalah masalah besar, khususnya golongan muda di negara ini.

"Kita juga bimbang dengan risiko penggunaan vape dalam kalangan kanak-kanak," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, MCTC menggesa kerajaan membentangkan semula Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok serta dasar Generasi Penamat (GEG) bagi menangani masalah merokok dalam kalangan masyarakat di negara ini.

"Kerajaan terutama Kementerian Kesihatan (KKM) sepatutnya tidak akan mengambil masa yang lama untuk membentangkan RUU ini kerana draf RUU itu sudah dikaji semula dan dipersetujui Jawatankuasa Parlimen sebelum Parlimen dibubarkan tahun lalu," katanya.


Sumber I BHarian


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo