Datuk Rashid Sidek |
BARISAN atlet negara ketika ini cukup bertuah kerana mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi projek Road To Gold (RTG) dalam memburu emas sulung Sukan Olimpik.
Justeru, legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek berkata, tiada alasan buat setiap atlet berkenaan untuk tidak memberikan aksi terbaik pada temasya sukan terbesar dunia itu.
“Pada zaman saya dahulu, memang tiada. Sebelum ini tiada program seumpama itu, sekarang lebih bersistematik dan program juga tersusun.
“Jadi, tiada alasan lagi bagi atlet-atlet negara. Mereka beruntung. Tugas mereka fokus dan ikut latihan berkualiti bagi meningkatkan prestasi,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.
Pada Jumaat lalu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan 15 atlet negara disenaraikan dalam projek RTG menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
Ia melibatkan 11 pemain badminton selain dua pelumba berbasikal trek dan dua penerjun wanita yang dianggap prospek terbaik menjelmakan kilauan emas di pentas Olimpik.
“Paling penting layak dahulu ke Olimpik, bukan senang untuk dapat pingat. Kumpul mata untuk layak ke Olimpik, selagi tak layak bagaimana nak dapat pingat,” ujar Rashid.
Sambil menyambut baik projek RTG itu, Rashid turut berharap atlet terpilih memanfaatkan peluang tersebut kerana mereka menggalas misi besar kontinjen Malaysia.
“Hargai apa yang kerajaan beri. Guna sepenuhnya (kemudahan dan sokongan) untuk tingkat prestasi dan seterusnya dapatkan pingat buat negara,” ujar pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu.
Menurutnya, setiap atlet terutama yang berstatus profesional tidak perlu lagi memikirkan sebarang kekangan yang sebelum ini membelenggu mereka kerana terpaksa mencari dana sendiri.
“Perkhidmatan sokongan dan latihan berkualiti dalam projek RTG amat bagus sebagai persiapan bagi atlet-atlet yang terlibat sebelum menghadapi Sukan Olimpik.
“Nak kekal prestasi bukan senang, jadi bagi saya ini (projek RTG) sesuatu yang bagus kerana KBS mengambil berat mengenai persiapan atlet,” jelasnya.
Sumber I Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment