Akhbar Shin Min Daily News (SMDN) melaporkan, insiden yang jarang berlaku itu terjadi di jalan Redhill Road dekat Pusat Makanan Redhill.
Seorang wanita berusia 60 tahun bernama Lin yang memaklumkan kemalangan itu kepada SMDN berkata, dia melihat seketul enjin tercicir dari bas sekolah tersebut.
Menurut gambar yang diberikannya kepada SMDN, terdapat banyak bahagian logam berselerak di sepanjang jalan.
Katanya, terdapat kira-kira 20 pelajar sekolah di dalam bas itu dan mereka terpaksa dipindahkan ke laluan pejalan kaki berhampiran.
Terdapat juga empat orang dewasa menemani kumpulan pelajar terbabit sementara mereka menunggu pengangkutan alternatif.
Ketika wartawan SMDN bergegas ke tempat kejadian, polis tiba untuk melencongkan lalu lintas, manakala sebuah trak tunda bersiap sedia untuk menunda bas tersebut.
Menurut sumber SMDN, bas sekolah itu baru bertolak dari sekolah Gan Eng Seng yang terletak berhampiran dengan lokasi kejadian.
Pemandu bas yang enggan namanya disiarkan, memberitahu wartawan bahawa dia berasa ada sesuatu yang tidak kena apabila mendengar bunyi yang kuat. Dia pun segera memberhentikan basnya.
Apabila menyedari apa yang berlaku, dia meminta bantuan syarikat bas berhampiran dan membuat persiapan membawa pulang pelajar menggunakan bas lain.
Pemandu itu berkata, bas itu miliknya dan ia adalah kali pertama dia menghadapi situasi sedemikian.
Dia juga mendakwa bahawa bas itu baru keluar dari bengkel pada pagi hari kejadian kerana dia telah meminta mekanik memeriksa bahagian belakang bas berkenaan. Bengkel itu juga menukar beberapa komponen.
Menurutnya, dia sedang mempertimbangkan sama ada akan melupuskan bas itu atau membeli bas baharu. Bas berkenaan berusia kira-kira 12 tahun.
“Saya perlu menyewa bas lain buat sementara itu,” tambahnya. – AGENSI
No comments
Post a Comment