NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cuaca panas, kebakaran tanah gambut antara punca jerebu

Nik Nazmi pada sidang akhbar selepas menyampaikan bakul makanan kepada penerima sempena Majlis Penyerahan Bakul Raya Untuk Asnaf di Parit Pasir Tumboh pada Sabtu. - Foto Bernama


KOTA BHARU - Jerebu yang sedang dialami negara ketika ini berpunca daripada insiden kebakaran kawasan seperti tanah gambut, kawasan yang mudah terbakar dan pembakaran terbuka, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, cuaca panas yang melanda Semenanjung negara kini dan aktiviti ekonomi yang kembali beroperasi selepas Covid-19 turut menjadi penyumbang kepada keadaan itu.

"Cuaca kering ketika ini menyebabkan insiden kebakaran berlaku melibatkan kawasan hutan dan kawasan tanah yang mempunyai pemilik.

"Keadaan berjerebu ini bukan hanya di Malaysia tetapi juga berlaku di negara-negara rantau ASEAN," katanya ketika sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada 50 orang asnaf di Kampung Parit Pasir Tumboh di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, pelbagai agensi kerajaan sedang bertungkus-lumus memadam kebakaran tanah gambut yang berlaku di Kampung Beoh Mukim Beris Lalang di Bachok yang berlaku sejak 27 Mac lepas.

Beliau berkata, pada mulanya kebakaran hanya melibatkan kawasan seluas lima hektar namun kini sudah merebak kepada kawasan seluas antara 20 hingga 50 hektar.

Menurutnya, lokasi kejadian masih lagi berasap dan belum lagi dapat dipadamkan sepenuhnya.

"Malah kebakaran telah mula merebak ke kampung-kampung berdekatan seperti Kampung Kual, Kampung Kual Kecil dan Kampung Gondang.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan telah mengeluarkan notis arahan kepada semua pemilik tanah supaya bertanggungjawab dan mengambil langkah sebaiknya untuk elakkan tanah diceroboh atau dibakar," katanya.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, JAS Kelantan juga telah menggerakkan pasukan operasi mencegah kebakaran terbuka dengan melakukan pemeriksaan harian di semua kawasan tanah gambut yang mudah terbakar dalam tempoh musim kering ini.

"Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah lakukan operasi pengepaman telaga tiub di kawasan tersebut sejak 29 Mac sehingga kini bagi mengalirkan air ke parit dan alur air berhampiran bagi melembapkan tanah supaya dapat mengelak kebakaran daripada terus merebak

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah menyelenggara saliran yang tersekat bagi memudahkan aliran air seterusnya meningkatkan paras air di alur dan mengekalkan kelembapan tanah," katanya.

Beliau berkata, operasi pemadaman turut melibatkan bomba yang memantau keadaan dan menjalankan kerja-kerja pemadaman sejak kebakaran mula dikesan. - Bernama




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo