NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ahli Parlimen pembangkang guna duit ‘poket’ bantu rakyat

BACHOK: Ahli Parlimen Bachok Mohd. Syahir Che Sulaiman mendedahkan beliau terpaksa menggunakan duit ‘poket’ sendiri termasuk elaun yang diterima untuk membantu golongan yang memerlukan di kawasannya.

Mohd. Syahir berkata, pendekatan itu terpaksa diambil selepas kerajaan tidak menyalurkan peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang.

Menurutnya, bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu ahli Parlimen pembangkang membuat perundingan kerajaan bagi mendapatkan peruntukan tersebut.

“Bagi saya perkara ini tidak perlu melalui proses perundingan atau apa-apa syarat kerana wang tersebut digunakan untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing. Hal ini kerana tiada beza antara rakyat di kawasan kerajaan mahupun pembangkang kerana mereka semua penduduk negara ini. 

“Setakat ini ahli Parlimen pembangkang tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan. Bagaimanapun, kekangan itu tidak menghalang kami ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) termasuk saya untuk menghulurkan kami menggunakan sumbangan peribadi dan elaun yang diterima untuk dikongsikan dengan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas majlis Himpunan Penerima Skim Kebajikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Irama di sini hari ini.

Mohd. Syahir memberitahu, perkara tersebut tidak sepatutnya dilengah-lengahkan kerana ia melibatkan kepenting kepada golongan rakyat yang memerlukan bantuan.

Katanya, ahli Parlimen pembangkang tidak kisah jika peruntukan tersebut dikurangkan berbanding kerajaan namun mereka tetap mahukan perkara tersebut disegerakan.

“Mengenai rundingan melibatkan peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang memang disebut oleh Perdana Menteri kami perlu berjumpa (berunding).

“Wakil Ketua Whip pembangkang (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof) telah bertemu. Jadi kita lihat hasilnya. Secara prinsipnya perkara ini perlu disegerakan kerana ia merupakan sebahagian daripada semangat federalisme,” ujarnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, belum ada perbincangan rasmi antara Fadillah dengan jawatankuasa yang dibentuk pembangkang berhubung pengagihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Fadillah berkata, hanya satu perbincangan awal dilakukan antara beliau dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin diadakan pada Jumaat lalu.

Terdahulu, PN telah melantik tiga wakil rakyatnya iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin untuk mengadakan rundingan dengan Datuk Seri Fadillah Yusof mengenai jumlah peruntukan yang bakal diterima ahli Parlimen pembangkang.-UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo