NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sekat Peruntukan: Tindakan tak bertamadun - Haji Hadi


KUALA TERENGGANU : Presiden PAS, Tan Seri Abdul Hadi Awang mendakwa Pakatan Harapan (PH) yang memimpin kerajaan campuran sekarang bukan kerajaan Madani mengikut acuan pemerintahan Islam terdahulu.

Beliau berkata, kerajaan campuran sekarang didominasi oleh Ahli Parlimen bukan Islam iaitu seramai 50 orang bukan Muslim manakala hanya 31 orang Muslim sahaja.

Menurutnya, mereka tidak menjadikan Melayu Muslim berintegriti untuk mendominasi penduduk negara ini sebagai majoriti berkonsepkan asas seperti disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad.

Selain itu, tambahnya, kerajaan campuran itu dinamakan sebagai kerajaan perpaduan walaupun penubuhannya menipu rakyat dan seluruh dunia.

“Meletakkan jenama ‘kerajaan perpaduan’ adalah menyalahi istilah ilmu politik iaitu kerajaan yang tiada pembangkang atau pembangkangnya terlalu kecil laksana nyamuk.

“Selain itu, kerajaan campuran ini bercampur aduk pula dengan pelbagai ideologi seperti kalangan liberal, puak ekstrem berhaluan kiri mahupun kanan serta kalangan oportunis.

“Malah mereka disertai oleh kalangan yang dipertikai integritinya seperti bekas banduan, kluster mahkamah, kronisme, dan nepotisme yang menjadi gejala dalam kerajaannya.

“Betapa mereka adalah paling jauh daripada ciri-ciri madani yang mampu mencipta kemajuan yang positif dan jauh daripada konsep al-din yang wajib menjadi panduan,” katanya dalam Bicara Minda Presiden yang dimuat naik dalam Facebook rasminya, hari ini.


Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, mereka melantik kepimpinan negara dalam kalangan mereka yang hanya menang tipis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu dengan sokongan bukan Muslim, bukannya sokongan kaum Muslim yang mendominasi penduduk negara.

Malah menurutnya, calon pemimpin PH berpindah-randah tempat bertanding sehingga terpaksa bergantung kepada sokongan bukan Islam yang tidak mendominasi keseluruhan penduduk.

Abdul Hadi menjelaskan, mengambil alih kerajaan bukan sekadar mengambil tempat bagi merebut jawatan dengan keistimewaannya, namun kewajipan yang sepatutnya ialah menunaikan amanah Allah SWT bagi melakukan tashih (pembetulan) terhadap kerosakan yang berlaku, bukannya berebut jawatan dan mengekalkan kerosakan atau menambah keburukannya.

Menurutnya, pada masa yang sama, bukan pula berlaku zalim terhadap mana-mana pihak yang tidak menyokong mereka dengan menyekat peruntukan yang diwajibkan kepada negeri-negeri dan ahli-ahli Parlimen, termasuk menyusahkan pegawai-pegawai kerajaan yang dikira tidak menyokong mereka.


“Tindakan demikian adalah sungguh tidak bertamadun, tidak bermoral agama dan tidak berkonsepkan demokrasi yang sebenar, malah menjadikan cara yang salah bagi mengekalkan kuasanya,” ujarnya. – UTUSAN



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo