NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sejarah hitam air Kelantan, Rakyat menderita sehingga kini




NEGERI
 Kelantan merupakan sebuah negeri di Timur Laut Semenanjung Malaysia. Dengan keluasan lebih kurang 15,040 kilometer persegi, negeri ini mempunyai seramai 2 juta orang penduduk berdasarkan Statistik Penduduk Suku ke-4 2019. Negeri inilah yang menyaksikan syahidnya beberapa orang tokoh pejuang kemerdekaan negara ini, termasuklah Tok Janggut dan Tok Kenali suatu Ketika dahulu.

Dalam rekod sejarah, Kelantan telah menjadi sebahagian dari Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 dan mencapai kemerdekaan bersama-sama dengan negeri lain pada 31 Ogos 1957. Pada 16 September 1963, Kelantan juga merupakan salah satu daripada negeri-negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.

Namun, apa yang menyedihkan rakyat Kelantan hari ini yang turut turun melaksanakan pemilihan kerajaan secara demokrasi nampaknya terus dilayan sebelah mata oleh Kerajaan Persekutuan PH-BN. Pelbagai isu ditimbulkan dan fakta diputarbelitkan bagi memburukkan Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui oleh PAS. Salah satunya ialah isu masalah air yang sentiasa diputar sama sejak beberapa fasa pilihan raya yang lalu, kononnya kerajaan sedia ada di Kelantan tidak berbuat apa-apa untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan. 

Hakikatnya, sejarah hitam berkaitan isu air di Kelantan ini telah bermula pada tahun 1990. Sejarah ini bermula apabila Projek Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU) bernilai RM90 juta yang telah pun diluluskan telah ditarik balik apabila Barisan Nasional kalah dalam Pilihan Raya Umum pada 21 Oktober 1990.

Secara logiknya, apabila projek ini telah diluluskan bermaksud Negeri Kelantan pada masa itu telah mengalami masalah air dan projek tersebut diluluskan bagi menguruskan masalah tersebut. Namun, kezaliman pemerintahan BN pada masa itu yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan (1990-1998) telah menarik balik projek tersebut. Penarikan projek BAKU telah menyebabkan Al-Marhum Tok Guru Nik Aziz terpaksa menswastakan bekalan air menerusi syarikat usahasama antara Thames Water Pvt.Inc dan PMBK iaitu Kelantan Water Sdn Bhd yang kemudiannya bagi memastikan kepentingan rakyat Kelantan terjaga PMBK membeli balik saham-saham yang dimiliki oleh Thames Water. Setelah semua saham menjadi milik PMBK, maka nama syarikat ditukar menjadi Kelantan Water Sdn. Bhd.

Kerajaan Negeri tidak putus harapan dengan membuat permohonan di bawah Rancangan Malaysia ke- 8 (RMK8) untuk mendapatkan pinjaman RM600 juta bagi tujuan meningkatkan bekalan air. Namun Kerajaan BN hanya meluluskan RM291 juta sahaja. Sedangkan negeri-negeri BN yang lain menikmati geran yang berbilion-bilion ringgit (tanpa perlu bayar balik). Hasil pinjaman tersebut Kerajaan Negeri melalui AKSB membina 3 loji rawatan air iaitu:
1. Kampung Chicha Kubang Krian (RM80 juta).
2. Merbau Chondong 1 (RM28 juta).
3. Merbau Chondong 2 (RM38 juta).

Dalam masa yang sama AKSB juga menaik taraf loji-loji yang sedia ada iaitu:
1. Kampung Putih Kota Bharu (RM29.8 juta).
2. Pahi Kuala Krai (RM8 juta).
3. Kelar 1 Pasir Mas (RM30 juta).
4. Kelar 2 (RM57.5 juta).

AKSB juga turut menukar paip-paip utama membabitkan kos sebanyak RM20 juta. Adalah cukup Pinjaman RM291 juta? Tidak mencukupi sehingga memaksa Kerajaan Negeri Kelantan menambah pinjaman daripada RMK8 sebanyak RM68.5 juta bagi meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran air. Demi mengutamakan kesejahteraan rakyat Kelantan, Tok Guru Nik Aziz sekali lagi membuat pinjaman kewangan bagi tempoh RMK9 (2006-2010) berjumlah RM160 juta. 

Hasil dari pinjaman ini AKSB berjaya menyiapkan loji rawatan air di beberapa tempat:
1. LRA Lojing, Gua Musang (RM398,194).
2. LRA Jeli (RM17.7 juta).

Naik taraf loji:
1. LRA Chica.
2. LRA Bukit Remah.
3. LRA Tanah Merah.
4. LRA Kampung Putih.

Dalam masa yang sama AKSB juga memperkenalkan kaedah Geographic Information System (GIS) SCADA serta telemetri bagi pengurusan bekalan air membabitkan sebanyak RM5.5 juta. Tumpuan ketika itu juga diberikan kepada mengurangkan kehilangan air dalam tanah (NRW) yang menelan belanja sebanyak RM94 juta. 

RMK10 pula pinjaman yang diterima sebanyak 96.8 juta daripada Kerajaan Persekutuan digunakan untuk:
1. Projek sambungan NRW (RM35.8 juta).
2. Membina loji di Pintu Geng Kota Bharu (RM56 juta).
3. Membina loji di Sungai Ketil dan Pangung lalat Gua Musang (RM5 juta).

Jika dibandingkan dengan negeri-negeri di bawah BN, mereka tidak diberi pinjaman sebaliknya mendapat geran seperti:
1. Pahang RMK11 (RM1.34 bilion).
2. Pulau Pinang RMK11 (1.4 bilion).
3. Johor RMK11 (RM792 juta).

Ini adalah bukti Kerajaan Umno, BN telah sekian lama menganak tirikan Kelantan. Maka dari sejarah pahit ini wajar rakyat Kelantan menghukum Umno BN di Kelantan. Namun selepas peristiwa hitam ini berlalu maka di era Kerajaan PN memerintah sudah banyak bantuan turun ke Kelantan. Isu air ditangani dengan serius selepas pembentukan Kabinet PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Mac 2020.

Sepanjang tempoh itu geran untuk pembangunan air Kelantan telah diluluskan sebanyak RM55 juta dan pinjaman berjumlah RM48 juta telah diperuntukkan dalam RMK12. Keseluruhannya berjumlah RM103 juta untuk pembangunan air Kelantan. KASA telah menubuhkan Jawatan Kuasa Khas di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi membantu negeri yang menghadapi masalah air seperti Kelantan, Kedah dan Pahang bermula November 2021. Hasil dari bantuan dari Kerajaan Persekutuan maka Kerajaan Negeri Kelantan segera memperuntukkan sejumlah RM49 juta untuk 6 projek pembinaan loji rawatan air mini dan 2 projek menaiktaraf sistem proses loji yang sedia ada. Selain itu juga kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM14.5 juta untuk agihan tangka statik, peralatan berkaitan dan penghantaran melalui lori kontrak sepanjang tempoh 2 tahun mulai 2020. Sebanyak 432 buah lori tangki statik ditempatkan di kawasan yang bermasalah dan 30 buah lori air kontrak beroperasi dari jam 9 pagi hingga 6 petang sebagai alternatif penyelesaian jangka masa pendek. 

Kesimpulannya Presiden Umno tidak perlu membuat janji jika Umno teraju Kelantan, maka isu air akan selesai. Ini adalah janji manis yang rakyat Kelantan tidak makan. Sebaiknya Presiden Umno perlu menunjukkan iltizam dahulu untuk membantu Kelantan dengan memberi hak royalti kepada Kelantan.

ABDULLAH FARHAN
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY17/3/2023


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo