NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Protokol apa, soal bekas ketua hakim berkait keputusan siasatan Nazlan

Abdul Hamid Mohamad dilantik sebagai ketua hakim negara kelima dari November 2007 hingga Oktober 2008. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang bekas ketua hakim mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang mendapati siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Hakim Nazlan Ghazali melanggar protokol.

Abdul Hamid Mohamad berkata, tiada undang-undang bertulis berhubung perkara itu dan protokol dinyatakan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat tidak pernah disebut dalam mahkamah sebelum penggubalannya oleh Mahkamah Persekutuan melalui penghakimannya minggu lalu.

“Tidak dapat menemui mana-mana peruntukan Perlembagaan yang jelas untuk bergantung atau yang kabur sekalipun untuk berkait, mereka menggunakan prinsip kebebasan kehakiman dan mencipta protokol baharu.

“Oleh sebab SPRM tidak mengikut protokol yang belum ada itu, SPRM telah melanggar protokol itu! Biar apa pun, ia memberi alasan kepada mahkamah itu untuk menyalahkan penyiasatan itu.

“Sama ada ia berkesan membersihkan nama Hakim Nazlan adalah perkara lain,” kata Hamid, yang dilantik ketua hakim negara kelima dari November 2007 hingga Oktober 2008, dalam catatan blognya.

Beliau berkata, penghakiman panel tujuh hakim itu sepatutnya berhenti selepas menolak dua perisytiharan dipohon perayu.

Difailkan peguam Nur Ain Mustapa, Sreekant Pillai dan Haris Ibrahim, saman itu memohon perisytiharan bahawa SPRM tidak dibenarkan menyiasat hakim sedang berkhidmat, melainkan mereka digantung atau dilucutkan jawatan.

Ia turut bertanya sama ada pendakwa raya boleh memulakan prosiding jenayah terhadap hakim yang sedang berkhidmat.

Mahkamah tertinggi itu dalam jawapannya berkata, badan penyiasat seperti SPRM boleh menyiasat hakim sedang berkhidmat dan mereka boleh didakwa atas kesalahan jenayah berpotensi.

“Ketua hakim negara dan badan kehakiman tidak boleh membiarkan ia berhenti di situ kerana sebanyak dua kali badan kehakiman…telah mengeluarkan kenyataan membela Hakim Nazlan. Jika dibiarkan, akan nampak seolah-olah pendedahan Raja Petra itu betul.

“Tiada suatu pihak pun dalam kes ini yang menuntut, meminta menghujah atau diberi peluang berhujah mengenai keputusan yang dibuat mahkamah itu. Mahkamahlah yang melakukan semua itu sendiri,” kata Hamid.

Katanya, beliau amat risau melihat perkembangan penghakiman Mahkamah Persekutuan beberapa tahun kebelakangan ini kerana ia membuat keputusan melebihi bidang kuasanya.

Beliau berkata, penghakiman itu turut menyindir seolah-olah cabang eksekutif dan perundangan tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan tugas mereka secara bebas.

Penghakiman itu juga meletakkan hakim “di tingkat lebih istimewa daripada semua orang, termasuk raja-raja” dengan mengkehendaki pihak berkuasa merujuk ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim sedang berkhidmat.

Hamid berkata, penghakiman itu turut membayangkan siasatan SPRM dijalankan dengan niat jahat dan untuk “tujuan lain”.

“Tujuan lain apa? Hanya satu yang dapat difikirkan, iaitu untuk mendapat keputusan mahkamah bahawa ketidakadilan telah berlaku terhadap (bekas perdana menteri) Najib (Razak) dan kes itu patut dibicarakan semula?

“Lupakah hakim-hakim itu bahawa SPRM telah menghabiskan berpuluh-puluh, jika tidak beratus-ratus ribu jam menyiasat kes itu ? Jika ada satu pihak yang lebih teruk menyediakan kes itu untuk dibicarakan, ianya adalah SPRM.”

Sebaliknya, SPRM digambarkan sebagai mempertahankan Najib, kata Hamid.

Katanya, beliau tidak membantah protokol baharu diwujudkan untuk siasatan terhadap hakim dan ia soal dasar yang perlu ditentukan eksekutif.

“Badan kehakiman boleh mencadangkannya kepada eksekuif. Jika eksekutif setuju, ia perlu dijadikan undang-undang oleh Parlimen. Dalam kata-kata lain, buatlah dengan cara yang betul.”

Nazlan, yang mengetuai panel hakim Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan SRC International Najib Razak, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada bekas perdana menteri itu yang didapati bersalah atas tujuh pertuduhan rasuah serta salah guna kuasa.

Najib menegaskan Nazlan perlu menarik diri daripada mengetuai perbicaraan itu kerana timbul konflik kepentingan. Katanya Nazlan, yang pernah menjadi peguam dan ketua setiausaha Maybank Group, terbabit secara langsung dalam urusan perbankan membabitkan SRC dan syarikat induknya ketika itu, 1MDB.

Aduan itu menjadi subjek siasatan SPRM.

Dokumen tidak lengkap kelihatan seperti laporan SPRM berhubung siasatan itu dibocorkan dalam talian oleh Raja Petra sejurus sebelum keputusan dibuat pada Julai 2020.

Permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu berkaitan dakwaan konflik kepentingan Nazlan ditolak Mahkamah Persekutuan Ogos tahun lalu.

Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo