NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Polis jangan bagi muka, tangkap peserta pesta LGBT - Pekemas

Polis jangan bagi muka, tangkap peserta pesta LGBT - Pekemas
Faizan berkata, walaupun tidak dinamakan secara khusus, perarakan dipercayai berunsur LGBT itu dilihat berselindung di sebalik penganjuran perhimpunan Women's March Malaysia 2023. -Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR : Pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat video tular dipercayai ada kaitan dengan pesta lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) atau perarakan kumpulan seks songsang yang didakwa berlaku di ibu negara.

Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd Noor berkata, jika benar wujud perarakan sedemikian, pihak polis harus menangkap semua peserta dan mengenakan tindakan sewajarnya sebagai pengajaran agar acara seperti itu tidak berulang.

Katanya lagi, walaupun tidak dinamakan secara khusus, perarakan LGBT itu dilihat berselindung di sebalik penganjuran perhimpunan Women's March Malaysia 2023 apabila kebanyakan peserta dilihat memegang bendera pelangi yang jelas merupakan simbol LGBT.

"Jangan bagi muka, keadaan sebegini boleh menimbulkan huru-hara dalam negara.

"Pemimpin politik kerajaan juga harus bertindak dan menyiasat siapa dalang di sebalik penganjuran acara tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya dalam satu kenyataan bertegas, penganjur perhimpunan itu akan dipanggil untuk disoal siasat berhubung perarakan yang diadakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka di ibu negara.

Jawatankuasa penganjur Women's March Malaysia 2023 bagaimanapun mengecam sekeras-kerasnya siasatan polis terhadap perhimpunan dan perarakan yang didakwa sempena Women's March Malaysia 2023.

Sekitar 150 individu terdiri daripada aktivis hak asasi (NGO), mahasiswa dan ahli parti politik menyertai perhimpunan tersebut sambil memegang plakad, yang antaranya tertulis "Imagine If Men Are As Disgusted With Rape As With Periods, Child Not Bride, Trans Women Are Women, Police Your Behaviour Not My Body", dan lain-lain lagi.

Kesemua individu yang sedang dikenal pasti terlibat dalam perhimpunan tersebut akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk diambil keterangan bagi siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Kesalahan Kecil 1955.

Baru-baru ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memuji pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengiktiraf LGBT serta konsep negara sekular.

Titah baginda, jaminan itu bertepatan waktunya untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan serius memelihara prinsip Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo