NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemenang Anugerah Nobel Keamanan, Bialiatski dihukum penjara 10 tahun

LONDON: Sebuah mahkamah di Belarus menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun terhadap pemenang Anugerah Nobel Keamanan yang juga merupakan aktivis hak asasi manusia, Ales Bialiatski.

Hukuman itu dikenakan selepas Bialiatski didapati bersalah membiayai tunjuk perasaan yang berlaku di negara itu.

Bialiatski, 60, menerima Anugerah Nobel Keamanan pada Oktober tahun lalu kerana usahanya memperjuangkan hak asasi dan demokrasi di Belarus yang dipimpin oleh Presidennya, Alexander Lukashenko.

Lukashenko yang juga sekutu rapat Russia dilaporkan memerintah secara kuku besi selama hampir 30 tahun termasuk didakwa menjatuhkan hukuman penjara ke atas penentangnya atau memaksa mereka melarikan diri.

Satu rakaman dari mahkamah Minsk menunjukkan Bialiatski yang turut merupakan pengasas bersama kumpulan hak asasi Viasna, kelihatan muram dengan kedua-dua tangannya bergari.

Bialiatski yang ditahan pada 2021, bersama tiga lagi individu didakwa dengan pertuduhan membiayai protes dan penyeludupan wang.

Tiga individu berkenaan adalah Valentin Stefanovich yang dijatuhi hukuman penjara selama sembilan tahun serta Vladimir Labkovich dan Dmitry Solovyov masing-masing dikenakan penjara tujuh tahun dan lapan tahun.

Agensi berita Belarus, Belta mengesahkan kesemua individu itu dikenakan tempoh hukuman penjara yang panjang termasuk selama 10 tahun kepada Bialiatski.

Bagaimanapun, Bialiatski menafikan semua pertuduhan ke atasnya dan menyifatkan tindakan itu bermotifkan politik.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) mengecam perbicaraan berkenaan. – REUTERS

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo