Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat (kiri) dan Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat (kiri) dan Datuk Seri Najib Razak.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1 hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Keputusan majoriti itu dibacakan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat.

Anggota panel lain ialah hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Najib, 69, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun itu di penjara Kajang, memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lalu.

Vernon berkata mahkamah mendapati tidak berlaku kegagalan dalam proses keadilan ketika pendengaran prosiding rayuan akhir kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International berjumlah RM42 juta oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu.

Kenderaan membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di pekarangan Istana Kehakiman berkaitan kes rasuah SRC International di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Kenderaan membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di pekarangan Istana Kehakiman berkaitan kes rasuah SRC International di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Beliau berkata, hak Najib untuk mendapat perbicaraan yang adil tidak pernah dinafikan ketika pendengaran rayuan terbabit.

Katanya, peguam Najib ketika itu enggan membuat penghujahan lisan walaupun dibenarkan berbuat demikian oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel hakim yang akhirnya menolak rayuan akhir berkenaan.

Beliau merujuk peguam Hisyam Teh Poh Teik yang dilantik Najib ketika itu yang tidak mengemukakan penghujahan lisan walau diminta berbuat demikian ketika pendengaran rayuan akhir berkenaan.

"Mahkamah mendapati permohonan Najib untuk dibenarkan menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya untuk memasukkan bukti baharu berhubung pembabitan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak dapat dipertahankan.

"Berhubung permohonan kebenaran untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak untuk menangguhkan prosiding rayuan utama, kami dapati peguam diberi hak untuk didengar tetapi enggan berhujah, dalam keadaan itu kami tidak dapati mereka tidak dinafikan hak untuk didengar sekali gus menyebabkan ketidakadilan kepada pemohon.

"Kami juga dapati panel Mahkamah Persekutuan tahun lalu membuat keputusan yang betul apabila menolak permohonan pemohon supaya Tengku Maimun menarik diri daripada mengetuai panel, kami dapati tiada asas bagi membuat semakan terhadap keputusan itu," katanya.