Perbahasan atau perdebatan di Parlimen adalah antara satu daripada kaedah penting bagi menghasilkan suatu dasar berkualiti untuk pembangunan negara dalam pelbagai sektor. - Foto hiasan
Perbahasan atau perdebatan di Parlimen adalah antara satu daripada kaedah penting bagi menghasilkan suatu dasar berkualiti untuk pembangunan negara dalam pelbagai sektor. - Foto hiasan

PARLIMEN adalah sebahagian daripada simbol demokrasi penting kepada mana-mana negara mengamalkan sistem pemerintahan berprinsipkan 'daripada rakyat untuk rakyat kepada rakyat'.

Di sinilah wakil rakyat kerajaan, pembangkang dan bebas berkumpul dan 'bertikam lidah' membahas serta memperhalusi isu berkepentingan rakyat dan negara.

Perbahasan atau perdebatan di Parlimen adalah antara satu daripada kaedah penting bagi menghasilkan suatu dasar berkualiti untuk pembangunan negara dalam pelbagai sektor.

Dalam konteks perbahasan di Parlimen, tatacara atau peraturan perbahasan ahli Parlimen tertakluk kepada peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Perkara 35 hingga 75 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat menggariskan semua hal berhubung panduan umum perbahasan seperti masa, cara bercakap, isi ucapan, adab bercakap sehingga bagaimana sesuatu rang undang-undang diluluskan. Namun dalam peraturan ini tidak dinyatakan 'bagaimana yang dikatakan perbahasan berkualiti'.

Justeru, kualiti perbahasan di Parlimen bergantung kepada keupayaan ahli Parlimen menyediakan teks mantap dengan segala bahan sokongan diperlukan seperti data statistik, akta berkaitan serta kajian pernah dibuat berkaitan sesuatu isu, perkara dan usul dikemukakan.

Menteri Kabinet memegang portfolio masing-masing juga wajib bersiap siaga dengan bukti, contoh dan idea sokongan dapat mengukuhkan kewajaran sesuatu strategi, dasar, projek dan peruntukan kewangan diperkenalkan kementeriannya.

Ketua Pembangkang pula memiliki hierarki tinggi dalam strata perbahasan antara wakil rakyat di Parlimen. Kedudukannya amat tinggi dan menjadi 'semak dan imbang' kepada apa sahaja isu, perkara, dasar dan peruntukan dicadangkan kerajaan.

Ketua Pembangkang yang dipilih oleh pasukannya perlu memiliki pengalaman luas di Parlimen dan disegani lawan kerana kepetahan dan memerangkap hujah kerajaan.

Namun, pembawaan pembangkang ketika membahaskan Titah Diraja dan Belanjawan 2023 baru-baru ini tidak banyak memfokus kepada kandungan titah Yang di-Pertuan Agong atau belanjawan sebaliknya masih terbawa-bawa mengheret isu politik kepartian seperti 'isu balas dendam', 'isu kerjasama parti politik dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan' dan pelbagai lagi.

Perbahasan selit sindiran, kritikan

Sementara itu, kebanyakan isi perbahasan dibawa pembangkang pula cuba menyelitkan sindiran dan kecaman berbaur mengkritik peribadi, kaum, agama dan parti.

Justeru, sudah pasti wakil rakyat daripada kedua-dua belah pihak akan 'bertikam lidah' bermati-matian untuk saling mempertahankan maruah dan harga diri dan parti menerusi perdebatan yang tidak berfaedah.

Semua itu hanya sesuai dilakukan ketika kempen pilihan raya. Hujah yang baik dan berkesan tidak seharusnya diselitkan dengan sentimen dan pelbagai perspektif negatif terhadap individu, kaum, agama dan parti.

Ia hanya akan menjadikan sesuatu hujah itu bertukar sifat menjadi falasi. Falasi menyebabkan hujah lemah, tidak sah dan ditolak. Falasi dalam berhujah bukan disebabkan struktur hujah tetapi disebabkan membangkitkan hal tiada kaitan dengan isu pokok dibahaskan.

Malangnya, inilah kebiasaan sudah lama bertapak dan membekas dalam sesi perbahasan di Parlimen dan kelaziman ini amat perlu diperbetulkan.

Masih terdapat ahli Parlimen kerajaan terpekik dan menjerit-jerit tatkala pihak pembangkang berhujah.

Namun, segelintir wakil rakyat kerajaan juga dilihat masih terbawa-bawa dengan karakter wakil rakyat pembangkang. Ia mungkin disebabkan ahli Parlimen ini sudah terlalu lama menjadi pembangkang sehingga tidak tahu membezakan 'blok yang didiami' ketika ini.

Matlamat perbahasan di Parlimen adalah untuk mencari penyelesaian dan kata putus bagi mewujudkan satu dasar atau pendirian bersama yang dapat menjamin kehidupan rakyat lebih baik dan sejahtera.

Maka, untuk memperoleh suatu dasar berkualiti dan telus, ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang perlu membincangkannya secara mendalam dalam pelbagai perspektif.

Walaupun sesuatu perkara, isu, dasar dan peruntukan kewangan disediakan pihak kerajaan, namun peranan pembangkang bukan sekadar membidas dan mempersoal jika ada kandungannya tidak berkepentingan rakyat.

Pembangkang perlu menyaring setiap cadangan, usul dan dasar diperkenalkan kerajaan, namun ia mestilah bersifat konstruktif dan bukannya melihat semua perkara dan agenda pihak kerajaan itu dalam perspektif negatif dan tidak baik.

Pembangkang berkualiti bukan hanya pandai 'membangkang' seperti 'tikus membaiki labu'. Pembangkang yang bijaksana akan mengemukakan pelbagai idea dan pelan alternatif dapat mengimbangi pelbagai perkara, isu dan dasar diperkenalkan kerajaan.

Di sinilah pentingnya, penghujahan logik, benar dan sah. Selain itu, ciri-ciri hujah logik, benar dan sah adalah jelas, memiliki kredibiliti, relevan dan sumber yang sahih.

'Kerja rumah' pastikan perbahasan berkualiti

Perbahasan berkualiti amat penting kepada masa hadapan rakyat dan negara. Jika ahli Parlimen memiliki kesedaran dan rasa kebertanggungjawaban kepada rakyat dan negara, mereka patut menggunakan masa berkualiti di Parlimen untuk berhujah dan berbahas dengan tata cara baik, bernas dan berkesan.

Ahli Parlimen juga perlu menjalankan 'kerja rumah' dan penyelidikan berkaitan isu dan perkara penting perbahasan supaya hujah dibawa di Parlimen memiliki kualiti dan bernas.

Justeru, gambaran buruk mengenai persidangan Parlimen seperti 'Parlimen kanggaru' perlu dinyahkan dan budaya perbahasan sihat, telus dan harmoni perlu dipupuk khususnya dalam usaha kerajaan membina masyarakat madani.

Ahli Parlimen yang bijaksana bukan sahaja melaksanakan tanggungjawabnya dengan hadir di sidang Parlimen tetapi berkemampuan berhujah dan berdebat logik, sahih dan bernas.

Terlalu banyak isu perlu dibahaskan dengan jujur, profesional, beretika dan komprehensif. Berbahaslah dengan bijaksana untuk kepentingan dan kemaslahatan rakyat dan negara.

Bak kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 'ia (sekarang) bukanlah masa yang sesuai untuk terus berpolitik, melainkan bekerja dan menggalas tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat'.

Penulis adalah Kumpulan Penyelidikan Kepimpinan & Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia