PAltimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman. - NSTP/Aizuddin Saad
Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman. - NSTP/Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, sebuah lagu ciptaan Altimet berjudul Aduh Malaysia, menjadi siulan buat penyokong-penyokong tegar Pakatan Harapan (PH) ketika ini.

Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman mencipta lagu itu dengan mengubah lirik asal Ali Baba dengan 40 Penyamun dan dilancarkan sendiri di pentas politik pada program Rapat Mega PKR 2022 di Ampang pada 12 September lalu.

Namun selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, Altimet telah diserang oleh netizen kerana rata-rata warganet media sosial meluahkan kekesalan dan meninggalkan sindiran halus seolah-olah lagu itu memakan dirinya.

Altimet yang juga Ketua Cabang PKR Ampang, berkata beliau tidak rasa tersindir dengan cakap-cakap orang, malah perkara itu disifatkan sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi dirinya dan yakin bahawa lagu ciptaannya itu menjadi sukses.

"Attention is the new currency' (Perhatian itu merupakan satu mata wang baharu), jadi lagi ramai orang bercerita tentang lagu itu maknanya ada 'emotional engagement' (keterlibatan emosi).

"Apabila seseorang melibatkan emosi terhadap sesuatu karya, maknanya karya itu positif," katanya seperti dilaporkan oleh portal Harapan Daily hari ini.

Altimet berkata, bagi individu yang berkarya seni dalam pelbagai bidang seperti penghasilan cerpen, filem, lukisan dan lagu, masing-masing akan merasa kecewa jika karya yang dihasilkan tidak mendapat sebarang reaksi langsung daripada orang sekeliling.

Katanya, lirik lagu Aduh Malaysia dihasilkan dalam masa 15 minit itu juga, tidak membebankan dirinya untuk mengeluarkan sebarang wang perbelanjaan.

"Apabila kita hendak keluarkan sesuatu lagu itu, kita kena ada proses dan kos seperti pemasaran dan sebagainya.

"Saya nak beritahu, kos saya untuk memasarkan lagu Hoi Ya Hoi (Aduh Malaysia) adalah sifar malah saya tidak ambil duit daripada mana-mana pemimpin atau parti politik kerana lagu itu milik saya dan hak lagu itu sepenuhnya kepada saya," ujarnya.

Sebelum ini, Altimet dilaporkan mahu menyerahkan royalti lagu Aduh Malaysia kepada waris Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, sebagai hadiah dan penghargaan atas jasa yang dicurahkan seniman agung kelahiran Pulau Pinang itu.

Beliau turut memaklumkan bahawa mesej lagu itu adalah umum dan kebanyakan lagu-lagu ciptaannya termasuk lagu rap sebenarnya adalah lagu rakyat.

"Apabila lagu rakyat kita mesti fikir Noraniza Idris, tidak. Lagu rakyat ini adalah lagu yang bertemakan rakyat.

"Selagi isu lagu itu relevan kepada rakyat ini bermakna lagu itu akan sentiasa relevan," katanya.