NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Seleweng zakat MAINS: 11 individu dipanggil beri keterangan

Seleweng zakat MAINS: 11 individu dipanggil beri keterangan
Ahmad Dzaffir berkata pihaknya masih menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sekiranya perlu mengambil keterangan individu lain berkenaan perkara tersebut. - Fail/BERNAMA

SEREMBAN: Sebelas individu melibatkan pegawai Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Zakat Sdn Bhd dipanggil memberi keterangan berkenaan dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan jabatan itu, kata Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.

Ahmad Dzaffir berkata pihaknya masih menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sekiranya perlu mengambil keterangan individu lain berkenaan perkara tersebut.

"Setakat ini segala kenyataan yang diambil dan siasatan dijalankan adalah pandangan dan nasihat daripada Pejabat Pengarah Pendakwaan (PPN) Negeri Sembilan.

Katanya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah amanah.

Pada 13 Feb lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor mengesahkan kes berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan agensi berkenaan dikaji semula untuk melihat keterangan yang ada.

Sebelum ini, tular di aplikasi Telegram mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat melibatkan pegawai jabatan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Dzaffir melaporkan kes jenayah komersial di negeri itu pada tahun lepas merekodkan kerugian RM62.51 juta berbanding RM43.12 juta pada tahun sebelumnya.

Katanya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri telah membuka 2,833 kertas siasatan dan 1,425 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan komersial dan 469 individu dituduh di mahkamah pada tahun ini.

"Jenis kes didapati menunjukkan peningkatan adalah 318 kes bagi penipuan telekomunikasi, 93 kes penipuan pelaburan tidak wujud dan 38 kes bagi penipuan kewangan dalam talian. Terdapat pertambahan RM1.55 juta kerugian bagi kes pembelian dalam talian dan RM862,000 bagi pelaburan," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata polis menerima dua laporan melibatkan dua mangsa yang didakwa telah ditipu dalam pelaburan tidak wujud yang ditawarkan menerusi Facebook pada 20 Feb dan 22 Feb ini.

"Mangsa pertama melibatka pesara swasta yang kerugian RM1.2 juta dan seorang wanita berusia 49 tahun merupakan akauntan syarikat swasta mengalami kerugian RM200,000. Mangsa dimasukkan dalam grup WhatsApp dan seterusnya ditawarkan pelaburan yang dijanjikan pulangan tinggi," katanya.
Katanya dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata polis telah mengenal pasti empat individu yang dipercayai dapat membantu siasatan tersebut iaitu V. Paramesvaran, 38; Muhamad Subris Abdullah, 55; Muhammad Asyraf Mohd Hissam, 27; dan Muhammad Sabran Alias, 38 tahun.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohd Arif Jamaluddin di talian 019-4005037.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo