NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DUN Pulau Pinang lulus usul kosongkan kerusi 4 ADUN BERSATU


GEORGETOWN(Berita Harian): Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini meluluskan usul pengisytiharaan kekosongan empat kerusi yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU di bawah Fasal 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Speaker, Datuk Law Choo Kiang mengesahkan keputusan itu dicapai setelah selesai sesi perbahasan daripada semua ADUN yang mengambil bahagian dengan sokongan majoriti ADUN yang sebulat suara bersetuju melululuskan tersebut.

Choo Kiang meluluskan usul itu menerusi undian suara selepas semua ADUN yang hadir menyatakan 'ya' kedengaran lebih ramai dan kuat berbanding menyatakan 'tidak'.

Beliau mengumumkan senarai nama ADUN dan kerusi terbabit adalah ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin, Zulkifli Ibrahim (ADUN Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (ADUN Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (ADUN Telok Bahang).

"Pengisytiharan berkenaan diluluskan menurut Fasal 14 (A)(4) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dengan DUN hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah berlaku kekosongan kerusi berkenaan.

"Dewan ini juga mengambil maklum mengenai usul mengikut Fasal (5) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang bahawa satu kekosongan luar jangka tidak boleh diisi memandangkan DUN Pulau Pinang akan terbubar dalam tempoh kurang daripada dua tahun.

"Maka dengan itu dewan memohon supaya empat ADUN terbabit mengosongkan kerusi dan meninggalkan dewan persidangan sekarang.

"Terima kasih semua cara yang paling baik mengosongkan empat kerusi selepas kita beri ruang masa secukupnya seterusnya diluluskan dewan yang mulia ini," katanya.

Beliau yang berkata demikian selepas penggulungan usul tersebut pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima DUN ke-14 itu turut meminta semua empat ADUN terbabit mengosongkan kerusi dan meninggalkan dewan selepas pengumuman itu dibuat.

Terdahulu Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman mengemukakan usul berkenaan dengan sesi perbahasan usul berlangsung kira-kira empat jam.

Ahmad Zakiyuddin (PH-Pinang Tunggal) berkata usul itu dibangkitkan berikutan kegagalan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili BERSATU terbabit untuk mengosongkan kerusi mereka mengikut Fasal 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Bangun menyokong usul tersebut ialah Jagdeep Singh Deo (PH-Datuk Keramat) dan menyifatkan ia adalah usul bersejarah dan berharap ia dapat dimuktamadkan mengikut undang-undang yang sudah disahkan pada peringkat Mahkamah Persekutuan.

"Tiada sebab untuk kita tidak meneruskan usul ini. Mereka juga gagal pada peringkat Mahkamah Rayuan setakat ini dan kita ada hak untuk membuat keputusan.

"Jadi pagi ini itu yang kita sedang melalui proses perundangan melalui keputusan mahkamah yang kita perlu akur berikutan ia membabibatkan banyak keputusan daripada hakim peringkat Mahkamah Persekutuan dengan penghakiman yang kukuh," katanya.

Pada sesi perbahasan, Khaliq Mehtab (BERSATU-Bertam) berkata kerajaan negeri seolah-olah tidak sabar menyingkirkan mereka berempat sedangkan semua wakil rakyat PH bertanding menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"PH bukan parti ia adalah gabungan dan belum didaftarkan ketika itu. Dalam Perlembagaan parti saya tidak pernah ada kad keahlian PH. Saya cuma ada kad keahlian BERSATU. Ahli PKR, DAP UMNO juga saya percaya tiada kad keahlian PH.

"Saya bercakap mengenai keahlian jadi mana letaknya isu (ADUN) Bertam, Telok Bahang melompat parti mengarut sama sekali takkan tak sokong kerajan negeri dikira melompat parti.

"ADUN Seberang Jaya dan Acheh mereka dipecat PKR jadi definisi melompat parti tidak terpakai Perkara 14A (1) ini sudah diwujudkan mengikut keperluan politik tertentu untuk menghukum parti yang berubah.

"Lagipun DUN dijangka akan dibubar pada Jun jadi apa yang kalut sangat hendak buang kami berempat. Terbuanganya kami dalam DUN ini akan menjadi sejarah hitam Pulau Pinang," katanya.


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo