NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

WHO pinta jangan politikkan asal usul Covid-19

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara lain supaya berkongsikan maklumat perisikan masing-masing dengan agensi itu berhubung asal-usul pandemik Covid-19, lapor laman berita RT kelmarin.

Ia dalam masa sama turut memberi amaran mengenai sebarang spekulasi tidak berasas atau cubaan mempolitikkan isu tersebut.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus bercakap panjang lebar mengenai keperluan untuk mengenal pasti titik permulaan utama bagi krisis kesihatan global dalam satu taklimat akhbar Jumaat lalu.

“Jika mana-mana negara mempunyai maklumat mengenai asal-usul sesuatu pandemik, adalah penting untuk maklumat tersebut dikongsi dengan WHO dan komuniti saintifik antarabangsa,” katanya sambil menambah beliau telah berhubung dengan pegawai-pegawai China mengenai perkara berkenaan baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Teknikal Covid-19 WHO, Maria Van Kerkhove menjelaskan bahawa agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tersebut telah menghubungi Kedutaan AS di Switzerland untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang asal usul pandemik tersebut.

Ia dibuat selepas Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Christopher Wray mendakwa virus itu kemungkinan besar berasal dari kebocoran makmal China dengan memetik penilaian biro tersebut yang belum didedahkan kepada umum.

Beijing secara lantang menafikan dakwaan bahawa agen-agen yang mencetuskan Covid-19 mungkin dibawa keluar dari makmal virologi keselamatan tingginya di bandar Wuhan iaitu antara lokasi pertama wabak itu dikesan pada akhir 2019.

Pegawai-pegawai China menolak teori itu dan menyifatkannya sebagai cubaan untuk memburukkan negara berkenaan. – AGENSI

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo