NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Catatan hari pertama, perbicaraan petisyen bantahan keputusan PRU15 bagi Parlimen Marang

Catatan perjalanan perbicaraan petisyen bantahan keputusan PRU15 bagi Parlimen Marang (sesi petang) dari Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu 6hb Mac 2023:

Saksi bagi pihak pempetisyen sedang disoal oleh pihak pempetisyen, Long Muhammad Sulaiman bin Long Samshuri pengundi kali pertama. Beliau berkata mendapat RM450 setelah mengundi PAS. Helah peguam pempetisyen untuk cuba menggunakan perkataan 'ejen' kepada suspek yang dikatakan pemberi wang dibantah oleh peguam responden. Saksi tidak dapat memaklumkan samada dari segi pembuktian atau secara pengakuan jelas dari pemberi wang bahawa pemberi itu adalah ejen. Ia adalah pendapatnya sahaja.

Peguam responden mewakili Ahli Parlimen Marang memulakan soalan dengan bertanyakan sejak bilakah Long Muhammad Sulaiman, tinggal di Parlimen Marang. Beliau berkata sebelum itu belajar di universiti di Sarawak dan sekarang sudah tinggal di Binjai Berambu, DUN Alor Limbat semenjak tahun 2021, iaitu sudah melebihi setahun. Beliau juga memahami akan maksud 'pengundi luar' iaitu merujuk kepada pengundi yang tinggal di luar daerah atau parlimen itu.

Saksi juga mengaku tidak pernah dihubungi oleh individu yang memberikan wang kepadanya sehingga pada malam sebelum hari pengundian. Ditanya lagi, jam berapakah beliau keluar mengundi, beliau menjawab kira-kira tengahari. Sehinggalah waktu habis beliau mengundi itu, saksi bersetuju bahawa beliau masih belum dihubungi oleh individu itu untuk dijanjikan apa-apa bayaran.

Saksi mengaku yang beliau begitu teruja untuk keluar mengundi kerana pengalaman pertamanya. Long yang juga seorang siswazah turut mengaku beliau mempunyai rasa tanggungjawab untuk membuang undi.

Long mendakwa beliau disapa oleh pihak ketiga betul-betul di hadapan khemah dekat dengan pusat pembuangan undi dengan kata-kata "Selepas mengundi, datang sini untuk ambil duit bantuan pengundi luar". Beliau mendakwa itulah kali pertama beliau mendengar tentang wang bantuan pengundi luar.

Tiada syarat yang ditetapkan oleh pihak ketiga itu, untuk mengundi parti mana. Long kemudiannya pergi mengundi. Beliau mengatakan beliau tidak ada pilihan tetap lagi untuk mengundi sesiapa sebelum waktu pengundian itu.

Beliau mendakwa beliau tidak mengikuti perkembangan politik negara, hanya banyak bermain games sahaja. Kata beliau lagi, beliau mengikuti perkembangan politik Amerika Syarikat, tetapi tidak mengikuti perkembangan politik Malaysia. Tambah beliau lagi, di Malaysia, beliau tidak tahu mana satu 'left wing' dan 'right wing', berlainan dengan Amerika Syarikat. Beliau berkata, beliau lebih cenderung memilih parti yang konservatif.

Long mendakwa lagi yang beliau telah ditanya oleh orang ketiga berapa banyakkah beliau membelanjakan wang iaitu tiket kapalterbang, duit belanja itu dan ini untuk pulang ke Terengganu. Sedangkan dalam masa yang sama Long sendiri telah mengaku dia telah setahun lebih tinggal di Binjai Berambu setelah tamat pengajian di Sarawak.

Peguam responden mencadangkan bahawa Long cuba mengambil kesempatan menerima wang tersebut yang dikhususkan kepada pengundi luar dengan sengaja tidak membetulkan soalan pihak ketiga yang menyangka beliau masih lagi belajar di Sarawak, tetapi Long tidak bersetuju. 

Sebaliknya Long menyatakan yang beliau hanya menjawab soalan penanya iaitu berapakah jumlah anggaran belanja untuk pulang mengundi, tanpa beliau membetulkan penanya yang beliau bukan lagi menetap serta belajar di Sarawak dan kemudiannya beliau mengambil juga wang bantuan itu.

Kemudiannya peguam responden mencadangkan lagi bahawa jika pihak ketiga tahu Long bukan lagi pengundi luar, maka beliau pasti tidak akan mendapat wang pengundi luar itu. Kali ini, Long bersetuju dengan cadangan itu.

Pada satu ketika, peguam pempetisyen bangun untuk menolak permintaan peguam responden untuk menggunakan video pendek yang pihak mereka sendiri sediakan dan edarkan kepada peguam responden sebagai bahan rujukan untuk bertanya saksi mereka. Hakim menolak permintaan peguam pempetisyen.

Saksi mengaku beliau tidak tahu yang beliau mesti bersumpah dengan nama Allah sebelum menerima wang bantuan pengundi luar. Pada soalan pihak peguam pempetisyen sendiri terdahulu, saksi mengaku beliau rasa sangat takut sebab ia melibatkan sumpah atas nama Allah. Namun saksi menolak pula cadangan peguam responden yang beliau merasa takut kerana memberikan undi kepada parti lain tidak sebagaimana sumpah yang beliau lafazkan itu.

Saksi juga mengaku nama beliau tiada dalam senarai pengundi luar dan ahli parti PAS. Long juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam responden yang perbuatan mengangkat sumpah 'wallahi' itu sebagai satu cara memastikan hanya ahli PAS yang akan menerima wang pengundi luar. Saksi bersetuju tiada dalam pengetahuan beliau yang acara mengangkat sumpah akan dilakukan sebelum menerima wang dan tidak tahupun adanya wang pengundi luar itu, sebelum ini.

Pihak ketiga, kata Long, ada memberikan sekeping kertas kepadanya untuk diisi nama, kad pengenalan dan alamat penerima dan diakui oleh saksi sebanyak tiga kali apabila ditanya peguam responden bahawa duit itu adalah 'wang bantuan pengundi luar'. Tetapi kemudiannya saksi bersetuju menukar ia sebagai wang pertolongan pulal. Dan apabila peguam responden mengatakan boleh panggil wang bantuan, pertolongan dan kalau dipanggil sedekahpun boleh, lalu disambut dengan ketawa oleh hadirin.

Sebelum itu pada perbicaraan sesi pagi, saksi plaintif, YB Bazlan Abdul Rahman telah disoal oleh pasukan peguam responden, yang diketuai oleh Datuk Takiyuddin Hassan.
Turut hadir pada sebelah pagi ialah Adun Batu Burok, YB Dr Ustaz Khalil Abdul Hadi, Adun Bandar, YB Ustaz Ahmad Shah Muhamed. Manakala Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang juga Adun Kijal, Dato' Seri Ahmad Said, turut mengikuti perbicaraan sehingga petang.

Perbicaraan akan bersambung esok jam 10 pagi.

Mohd Nasir Abdullah
6 Mac 2023

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo