KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu mengakui berlaku kekurangan bekalan telur ayam di negeri ini.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia, berkata keperluan telur ayam di negeri itu adalah sebanyak sejuta sehari, tetapi bekalan diterima hanyalah 600,000 sehari.

"Pemborong telur ayam di negeri ini hanya menerima bekalan kira-kira 400,000 biji sehari sejak Khamis lalu, berbanding 600,000 biji sehari sebelum Ramadan.

"Hasil pemeriksaan dilakukan hari ini mendapati, hanya satu daripada 32 pemborong kehabisan telur ayam manakala satu peruncit daripada 39 di seluruh negeri kehabisan bekalan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan bekalan telur ayam di beberapa daerah di negeri ini kembali meruncing selepas pemborong utama tidak menerima bekalan antara Khamis minggu dan Selasa lalu.

Saharuddin turut mengesahkan permintaan bekalan telur ayam yang semakin meningkat sejak Khamis lalu turut menyumbangkan kepada kekurangan bekalan.

"Pemborong telur ayam menyatakan faktor utama berlakunya penurunan jumlah bekalan secara mendadak disebabkan permintaan sumber protein itu semakin meningkat.

"KPDN akan sentiasa memantau dan melakukan pemeriksaan tahap keberadaan telur ayam di 160 Peruncit Terpilih Daerah (DDR) dan di 74 Pemborong Terpilih Daerah (DDW) di seluruh negeri secara harian," katanya.

Mengenai dakwaan berlakunya peningkatan harga, Saharuddin berkata, pihaknya memberi peringatan kepada semua peniaga supaya tidak mengambil kesempatan atas situasi untuk menaikkan harga telur ayam.

Katanya, harga telur ayam gred A ditetapkan pada kadar 0.45 sen sebiji, gred B (0.43) dan 0.41 sen sebiji untuk telur gred C.

"Peniaga yang menaikkan harga melebihi harga ditetapkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Jika disabitkan kesalahan, syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 dan denda sehingga RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000 untuk individu," katanya.