SWM melancarkan operasi bantuan pasca banjir sekitar daerah Batu Pahat, hari ini. Beberapa jentera syarikat digerakkan untuk kerja kutipan barangan yang rosak akibat bah. -FOTO FB SWM ENVIRONMENT SDN BHD

JOHOR BAHRU: Situasi banjir di dua daerah di Johor semakin menunjukkan tanda-tanda positif dengan jumlah mangsa semakin berkurangan kepada 28,008 orang setakat 8 malam ini, berbanding 29,063 yang direkodkan jam 4 petang tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan, memaklumkan daerah Batu Pahat dan Segamat masih terjejas dengan 96 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi.

"Batu Pahat mempunyai mangsa paling ramai iaitu 27,964 orang daripada 7,924 keluarga, diikuti Segamat dengan 44 orang daripada 14 keluarga," menurut JPBN.

Tiada sungai di negeri ini yang direkodkan di paras bahaya, kata JPBN lagi.

Dengan ramalan cuaca cerah di semua 10 daerah di Johor, ramai mangsa dijangka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dengan paras air banjir makin surut. - BERNAMA