NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

19,266 calon UPKK tahun 2022 catat 8A

Peratus lulus keseluruhan calon UPKK Tahun 2022 ialah 88 peratus, manakala pencapaian Gred Purata Skor UPKK secara keseluruhan ialah 1.99 mata. - Foto BERNAMA



PUTRAJAYA: Seramai 19,266 calon daripada 234,931 pelajar yang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) Tahun 2022 mencatat keputusan 8A.
Peperiksaan UPKK Tahun 2022 melibatkan sebanyak lapan mata pelajaran yang diuji kepada calon iaitu Bidang al-Quran; Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah); Sirah; Adab (Akhlak Islamiah); Jawi dan Khat; Lughatul Quran; Penghayatan Cara Hidup Islam dan Amali Solat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata peratus lulus keseluruhan calon UPKK Tahun 2022 ialah 88 peratus, manakala pencapaian Gred Purata Skor UPKK secara keseluruhan ialah 1.99 mata.
Mohd Na'im berkata kadar lulus bagi mata pelajaran Amali Solat ialah 100 peratus, diikuti Bidang al-Quran dan Penghayatan Cara Islam masing-masing 99 peratus; Jawi dan Khat (88 peratus); Adab (82 peratus); Ulum Syariah (79 peratus); serta Sirah dan Lughatul Quran masing-masing 78 peratus.
"Pencapaian ini menunjukkan kejayaan murid dalam menguasai ibadat solat, mengamalkan cara hidup Islam dan tilawah al-Quran dalam kehidupan seharian," katanya pada majlis pengumuman keputusan UPKK Tahun 2022 di sini hari ini.
Mengulas prestasi UPKK Tahun 2022, Mohd Na'im berkata terdapat sedikit penurunan peratusan lulus keseluruhan dan yang mendapat 8A berbanding UPKK pada 2019.
Beliau berkata prestasi UPKK Tahun 2022 tidak boleh dibandingkan dengan 2021 kerana peperiksaan pada tahun itu dibuat menggunakan modul yang berbeza.
Beliau berkata UPKK 2019 merekodkan seramai 44,066 pelajar daripada 223,705 calon yang menduduki peperiksaan itu mendapat 8A dengan peratus lulus keseluruhan ialah 93 peratus.
"Faktor pembelajaran dalam talian dan jumlah ketidakhadiran calon yang tinggi, iaitu 8,921 orang, antara faktor menyumbang kepada penurunan prestasi UPKK pada 2022.
"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan melaksanakan post mortem (pascanilai) bagi mencari punca dan penyelesaian kepada masalah jumlah ketidakhadiran yang tinggi bagi UPKK 2022," katanya.
Seramai 464,605 calon iaitu 222,528 murid tahun enam dan 242,077 murid tahun lima mengambil peperiksaan Modul Penilaian KAFA Tahun 2021 dengan peratusan lulus keseluruhan sebanyak 95.37 peratus.
Dalam pada itu, Mohd Na'im berkata kemenjadian murid bukan diukur kepada jumlah bilangan A yang diperoleh, tetapi melalui amalan dan cara hidup Islam yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian yang semakin mencabar.
"Harapan kami agar murid-murid yang mengikuti kelas KAFA ini menjadi tonggak dan permata yang akan menyemarakkan lagi syiar Islam pada masa akan datang," katanya.
-- BERNAMA


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo