Penganalisis politik dan pendakwah, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang berkaitan dominasi Melayu dalam Perkhidmatan awam juga menunjukkan warna kulit sebenar DAP

Bagaimanapun, beliau kecewa kerana kenyataan rasis panjang lebar oleh Ramasamy itu tidak diambil tindakan mana-mana pihak, termasuk pemerintah, berbeza dengan jika orang Melayu mengeluarkan kenyataan perkauman terus diambil tindakan.

“Pemimpin parti ultra kiasu cukup takut insiden hanya dapat memerintah 22 bulan kembali berulang apabila pemimpin mereka mengeluarkan kenyataan yang kurang ajar dan menyentuh sensitiviti Melayu Islam.

“DAP tidak mahu mengaku di khalayak, ada yang pakat-pakat kecam Ramasamy, kerana takut kehilangan kuasa lagi. Walhal itulah warna kulit sebenar parti ultra kiasu ini.

“Bila orang Melayu kononnya mengeluarkan kenyataan rasis, terus diambil tindakan tanpa fikir panjang. Malangnya, bila ultra kiasu buat kenyataan rasis, tidak siapapun berani ambil tindakan.

“Inilah nasib Melayu di bumi Melayu,” katanya yang kerap merujuk DAP sebagai parti rasis dan ultra kiasu, sambil kasihan nasib yang menimpa pemain hoki wanita negara Hanis Nadirah Onn.

Terdahulu, Ramasamy juga mengaitkan bahawa jumlah kakitangan awam yang terlalu ramai dan didominasi oleh Melayu adalah punca perkhidmatan awam menjadi lapuk atau tepu. Beliau seterusnya mendesak supaya “dominasi Melayu” dalam perkhidmatan awam dihentikan.

Ramasamy beranggapan perkhidmatan awam telah lapuk atau tepu, puncanya kerana perkhidmatan awam didominasi oleh orang Melayu. Maka, penyelesaiannya ialah untuk kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti pecahkan dominasi tersebut.

Ridhuan Tee berpendapat artikel itu merupakan satu penghinaan kepada perkhidmatan awam dan orang Melayu.

“Bila hati Melayu selalu disakiti, dibiarkan, bila ultra kiasu disakiti, terus diambil tindakan tanpa menoleh lagi. Kenapa tidak pecat sahaja dia daripada menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Kita tidak pernah berlaku adil. Dengan orang sendiri bukan main garang, dengan orang lain, lembut gigi daripada lidah. Alahai Melayu. Kamu nak tunjukkan kamu hebat, tetapi sebenarnya tidak. Kamu sedang meruntuhkan bangsa kamu sendiri,” kata Ridhuan Tee dalam satu kenyataan hari ini (13 Februari 2023).

Menurutnya kesalahan dilakukan ultra kiasu lebih besar, tetapi mereka saling sokong menyokong di belakang, sedangkan di hadapan mereka berlakon agar tidak mengulangi kesilapan masa lalu.

“Ultra kiasu hari ini sangat berstrategi dan cukup berhati-hati mengambil kira pengalaman 22 bulan ketika memerintah selepas PRU14. Sebab itu semua pendamkan, walaupun perkataan menu rahmah dan madani Malaysia menyakitkan hati mereka.

“Tersangat naif jika kita masih lagi tidak sedar lakonan hebat ini atau sengaja buat-buat tidak tahu untuk kekal berkuasa.

“Sebenarnya, saya langsung tidak terkejut dengan kenyataan P Ramasamy. Itulah suara hati DAP yang kita tahu amat alergik kepada sesuatu yang didominasi oleh orang Melayu?

“Ultra kiasu sedang berstrategi untuk memecahkan dominasi Melayu ini,” katanya.

- Agendadaily