Nik Nazmi (dua dari kiri) diiringi Shamsul Bahar (kiri) menyampaikan Anugerah Khas PBT Paling Aktif kepada MBSA pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2022 di Shah Alam. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR
Nik Nazmi (dua dari kiri) diiringi Shamsul Bahar (kiri) menyampaikan Anugerah Khas PBT Paling Aktif kepada MBSA pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2022 di Shah Alam. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR

SHAH ALAM: Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran menetapkan hala tuju dan pendekatan masing-masing yang bersesuaian dengan konsep bandar rendah karbon bagi menyumbang kepada pengurangan impak perubahan iklim di negara ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata saranan itu juga adalah bagi mencapai sasaran pengurangan gas rumah kaca berdasarkan Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara (NLCCM) yang dilancarkan pada 2021.

"Perancangan dan pembangunan bandar yang mampan dan transformasi kepada bandar rendah karbon dapat membangunkan ekonomi hijau tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan selain menarik pelaburan domestik dan antarabangsa," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2022 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Nik Nazmi, Datuk Seri Huang Tiong Sii, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Rosli Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology dan Climate Change Corporation (MGTC), Datuk Mohamad Razif Abd Mubin.

Nik Nazmi berkata, pihaknya juga akan mengadakan sesi libat urus bersama kerajaan negeri dan PBT mengikut zon pada tahun ini bagi memberi penerangan mengenai pelaksanaan NLCCM.

Katanya, ia selaras dengan sasaran kementerian itu untuk mewujudkan 200 zon rendah karbon dan 1,000 rakan kongsi Rendah Karbon di seluruh negara menjelang 2030.

Terdahulu, penerima anugerah terdiri daripada badan kerajaan dan organisasi swasta dalam pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) menerusi program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (Low Carbon Cities 2030 Challenge - LCC2030C).

Anugerah Khas dimenangi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang menerima Anugerah PBT Paling Aktif, manakala Anugerah Pengurangan Karbon Terbanyak dimenangi oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPS).