KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengumumkan barisan 'Kabinet' mereka yang akan menyelaraskan pengurusan parti itu sebagai pembangkang di Parlimen.

Perkara itu diumumkan pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas berakhir Pemukiman Ahli Parlimen PN hari ini.

Katanya, PN bersetuju dengan cadangan Sekretariat Ahli Parlimen PN supaya diwujudkan Jawatankuasa Portfolio Ahli Parlimen.

"Jawatankuasa Portfolio pembangkang ini diberikan kepada Ahli Parlimen kita yang ada kemahiran dan pengalaman dalam kerajaan serta latar belakang yang lalu dalam bidang masing-masing," katanya pada sidang media selepas penutupan Pemukiman Ahli Parlimen PN.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin (kiri) menunjukkan poster Jawatankuasa Portfolio Ahli Dewan Rakyat Parlimen ke-15 pada sidang media Perikatan Nasional di Hotel Tamu, Kuala Lumpur.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin (kiri) menunjukkan poster Jawatankuasa Portfolio Ahli Dewan Rakyat Parlimen ke-15 pada sidang media Perikatan Nasional di Hotel Tamu, Kuala Lumpur.

Berdasarkan poster Jawatankuasa Portfolio itu, Muhyiddin dinamakan sebagai Ketua Ahli Parlimen manakala timbalannya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengetuai portfolio Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim manakala Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin mengetuai tugas berkaitan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Seorang lagi Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ronald Kiandee diberi tugas berkaitan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Muhyiddin yang juga Pengerusi BERSATU berkata, jawatankuasa itu akan mengeluarkan kenyataan dasar PN dalam semua perkara mengikut portfolio masing-masing.

"Ini termasuk berkaitan ekonomi, apa pendirian dasar dalam isu alam sekitar, antarabangsa, pertahanan atau keselamatan dalam negara.

"Kita akan bentang supaya rakyat tahu apa pendirian kita dan kita bersedia memikul amanah besar kalau rakyat beri mandat tadbir negara kembali," katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata Ahli Parlimen yang diberikan portfolio berdasarkan kepentingan dan kepakaran individu, dan input mereka akan menjawab bagi pihak PN yang dikeluarkan sekretariat PN.

Pembangkang juga akan meneruskan dasar PN yang meneruskan kesinambungan Wawasan Kemakmuran Bersama ketika pentadbirannya.

Daripada keseluruhan senarai jawatankuasa portfolio itu, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad menjaga portfolio Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), jawatan yang pernah disandangnya ketika berada dalam kerajaan PN.

Turut menyertai barisan 'Kabinet' pembangkang, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kementerian Dalam Negeri) dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengetuai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Antara bekas Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan PN lalu yang disenaraikan dalam 'Kabinet' pembangkang adalah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi); Datuk Ali Biju dilantik menjaga Hal Ehwal Sabah dan Sarawak pembangkang; Datuk Mas Emieryati Samsudin (Hal Ehwal Undang-undang dan Reformasi Institusi) dan Datuk Rosol Wahid (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup).

Turut dinamakan ialah Datuk Seri Dr Ismail Mutalib bagi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan; Datuk Seri Akmal Hisham Abdul Aziz (Kementerian Pertahanan); Datuk Awang Hashim (Kementerian Sumber Manusia); Datuk Siti Zailah Mohd Yusof (Kementerian Wanita Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Muslimin Yahaya (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi); Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Wan Ahmad Fayshall Wan Ahmad Kamal menjaga portfolio Kementerian Luar dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamad Hashim bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari akan mengetuai portfolio Kementerian Belia dan Sukan manakala Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin (Kementerian Pengangkutan) dan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan (Kementerian Komunikasi dan Digital).