NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Microsoft diiktiraf punyai bilik paling sunyi dan menyeramkan di dunia


WASHINGTON  –  Sebuah bilik di dalam makmal audio syarikat gergasi teknologi Microsoft, yang memegang rekod  bilik paling sunyi di dunia,  didakwa merupakan lokasi menakutkan kerana  boleh menyebabkan individu berada di dalamnya berhalusinasi, lapor laman berita Oddity Central semalam.

Ruang yang terletak di ibu pejabat Microsoft di Redmond, Washington itu diiktiraf oleh Guinness World Records pada 10 Jun 2015.

Dinilai pada bacaan bunyi -20.35 decibel A (dBA), bilik tersebut menghentikan semua bunyi dari luar, menyebabkan apa sahaja bunyi yang dihasilkan di bahagian dalam kedengaran menakutkan.

“Kebanyakan orang mendapati ketiadaan bunyi menyebabkan mereka berasa seperti pekak atau telinga mereka berdering.

“Apabila menoleh, anda boleh mendengar bunyi pergerakan itu. Anda juga boleh mendengar bunyi nafas sendiri dan ia kedengaran agak kuat,” kata  pereka bentuk bilik itu yang dinamakan anechoic Microsoft, Hundraj Gopal.

Tambah Hundraj, masa paling lama seseorang pernah duduk di dalam ruang itu adalah kira-kira 55 minit.

“Saya sedar ada sebilangan individu boleh duduk di dalam bilik itu selama 30 minit atau lebih lama namun, ramai yang tidak tahan dan mahu keluar dalam masa beberapa saat sahaja,” ujarnya.

Ruang anechoic Microsoft terdiri daripada enam lapisan konkrit dan keluli serta terletak di atas pelbagai ‘spring’ peredam getaran.

Di bahagian dalam, gentian kaca menutupi dinding dan siling untuk memecahkan bunyi sebelum ia melantun semula. Lantai bilik itu terdiri daripada kabel yang digantung dan menyerap bunyi.

Keseluruhan ruang tersebut turut terpisah daripada bangunan lain dan dunia luar  bagi mengurangkan potensi sebarang bunyi yang didengari di bahagian dalam.

Bilik itu bagaimanapun tidak dibuka kepada orang awam kerana ia digunakan oleh Microsoft untuk menguji pelbagai gajet audio seperti mikrofon, pembesar suara dan bunyi ‘klik’ beberapa peranti pengkomputeran lain. – Agensi 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo