NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ismail Sabri cadang gubal semula Akta Tabung Haji

Gubal Akta Tabung Haji

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang supaya mengkaji dan menggubal semula Akta Tabung Haji 1995 untuk penambahbaikan kerana undang-undang itu sudah terlalu lama dan tidak relevan.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, tiada peruntukan untuk patuh syariah dan tadbir urus baik diwartakan di dalam akta itu yang sedia ada walaupun Tabung Haji sebagai asasnya perlu mematuhi syariah.

“Penambahbaikan perlu dari segi tadbir urus, pemantauan dan kawal selia bagi memastikan dana sebanyak RM88 bilion dapat diuruskan dengan lebih sempurna. Akta Lembaga Tabung Angkatan Tentera telah ditambah baik, hanya Akta Tabung Haji yang masih belum ditambah baik.

“Justeru, saya memohon penjelasan daripada kerajaan apakah perkembangan terkini dan sasaran tarikh pelaksanaan cadangan pindaan Akta Tabung Haji 1995,” katanya semasa perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, beliau mencadangkan supaya Tabung Haji mengkaji semula tempoh masa berada di Tanah Suci dengan memperkenal empat pakej tempoh masa iaitu 14 hari, 21 hari, 30 hari dan 40 hari.

“Langkah ini bukan sahaja menjimatkan kos tetapi menarik minat lebih ramai menunaikan Rukun Islam kelima kerana tempoh masa singkat dan mungkin ada antara kita yang terikat dengan kerja dan perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu juga mencadangkan supaya kerajaan mempertimbang harga lantai getah beku dinaikkan kepada RM3.50 sekilogram daripada RM2.50 sebelum ini.

Katanya, langkah menaikkan harga itu bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung kira-kira 320,000 pekebun kecil getah di seluruh negara disebabkan kenaikan kos sara hidup.

Katanya, kerajaan terdahulu telah memperkenal penggunaan getah beku yang dicampur bitumen atau dikenali sebagai Bitumen Terubahsuai Getah Bekuan (CMB) bagi kegunaan menurap jalan kampung di seluruh negara.

Katanya, sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2019 untuk pembangunan teknologi CMB dan 59 lokasi telah mendapat manfaat dengan pembinaan turapan jalan Cuplump Modified Asphalt (CMA) melibatkan jalan sepanjang 202.68 km.

“Saya juga mahu tahu apakah tindakan yang akan diambil oleh Kerajaan untuk meningkatkan harga getah beku. Saya difahamkan hanya 0.08 peratus daripada jumlah semasa pengeluaran getah negara digunakan dalam penurapan jalan menggunakan teknologi (CMB) pada 2019.

“Jadi, apakah status pelaksanaan program ini kerana ia terbukti mampu meningkatkan penggunaan getah yang secara tidak langsung akan membantu menambah pendapatan pekebun kecil,” katanya. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo