Bekas menteri kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani  - Foto Bernama
Bekas menteri kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menggariskan tiga keperluan bagi memulihkan ekonomi negara yang sedang bergelut ketika ini iaitu kestabilan politik, kecekapan dan keyakinan.

Beliau berkata, Malaysia harus sedia menanggung 'kesakitan jangka pendek' demi generasi akan datang.

"Malaysia tidak boleh lagi ada tiga perdana menteri dalam tempoh empat tahun. Pelabur tidak yakin (kerajaan stabil)," katanya dalam wawancara bersama portal FMT.

Johari berkata, semua pihak harus bersama mengekalkan kestabilan politik dan ia amat perlu untuk pastikan dasar yang perlu tetapi tidak popular diteruskan setiap kali pentadbiran bertukar.

Pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2018 memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang tidak popular, langkah yang membawa kepada hasil tahunan kerajaan berkurang pada anggaran RM20 bilion.

"Kedua, kita mesti ada pasukan berpengalaman dan cekap untuk baiki masalah dihadapi negara, dan merangka strategi jangka pendek dan panjang," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata strategi itu pula harus diberitahu kepada umum, termasuk hakikat mengenai 'kesakitan jangka pendek' dan nikmat jangka panjang.

Johari mengambil contoh rancangan melaksanakan subsidi bersasar untuk bahan bakar kenderaan yang tidak mudah tetapi perlu dilakukan.

Pemerintah sedang mempertimbangkan rancangan itu yang dijangka membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan. Tahun lalu, kerajaan membelanjakan kira-kira RM37.3 bilion untuk subsidi bahan bakar.

"Kita mesti ada pemerintah yang mempunyai integriti dan wibawa supaya rakyat yang akan perlu tanggung kesakitan jangka pandek yakin pada kerajaan.

"Kalau kerajaan tiada integriti, maka macam mana orang nak terima formula sakit jangka pendek itu.

"Jika kerajaan ada kemampuan, kredibiliti, pengalaman serta pemimpin yang cekap, dan ada kestabilan politik, ia boleh dilaksanakan dan rakyat akan percaya," katanya.


Bharian