NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kredibiliti Umno tercalar selepas Zahid gagal dapatkan pasport secara kekal

Ahmad Zahid Hamidi, yang juga presiden Umno dan timbalan perdana menteri, sedang dibicarakan atas 47 pertuduhan rasuah

PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menerima tamparan hebat serta mencemarkan kredibiliti parti selepas gagal dalam permohonannya mendapatkan semula pasportnya secara kekal yang dipegang mahkamah, menurut sumber Umno.

Ahli parti yang enggan dikenali itu berkata, Zahid sepatutnya membersihkan namanya daripada 47 pertuduhan jenayah terhadapnya dan bukannya fokus untuk terus berkuasa.

Beliau tidak sepatutnya dilantik sebagai timbalan perdana menteri dalam kerajaan Anwar Ibrahim, kata sumber dalaman parti itu.

“Dengan 47 pertuduhan (rasuah) yang sedang dibicarakan di mahkamah, bagaimana beliau boleh berfungsi sebagai timbalan perdana menteri? Beliau harus sedar bahawa apa sahaja yang dilakukannya, walaupun sehingga ke tahap untuk menjadi timbalan perdana menteri dan presiden Umno, beliau masih mempunyai 47 pertuduhan di mahkamah,” kata sumber itu kepada FMT.

Beliau berkata orang ramai diberikan mesej yang salah dalam permohonan Zahid bagi mengembalikan pasportnya, yang ditahan atas perintah mahkamah selepas beliau didakwa atas tuduhan rasuah.

Pada Jumaat, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Zahid agar pasportnya dikembalikan secara kekal kerana pertuduhan kes rasuahnya masih berlangsung.

Bagaimanapun, Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan pelepasan sementara pasport Zahid supaya beliau boleh memohon pasport diplomatik.

Zahid dalam afidavitnya berkata, beliau memerlukan pasport untuk menjalankan tugasnya dengan berkesan, termasuk melakukan perjalanan rasmi ke luar negara.

Ditanya bagaimana perkara itu akan memberi kesan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sumber berkata, kes itu tidak mencerminkan Anwar tetapi perdana menteri berkemungkinan tidak mengendahkannya.

Pandangan penganalisis

Sementara itu, ahli sains politik Wong Chin Huat berkata, penolakan mahkamah terhadap permohonan Zahid menunjukkan bahawa badan kehakiman masih kekal bebas.

“Ia mencadangkan bahawa kerajaan tidak campur tangan dalam kes Zahid atau sekurang-kurangnya dalam permohonan ini,” kata Wong yang juga profesor di Universiti Sunway.

“Ini memberi jaminan kepada mereka yang bimbang kerajaan telah dikompromi dengan pelantikan Zahid sebagai timbalan perdana menteri. Ia secara positif memberikan refleksi kepada Anwar, pengundi reformis boleh berasa lebih yakin berbanding sebelum penghakiman ini.”

Wong berkata keputusan mahkamah mengenai pasport itu memberi isyarat bahawa Zahid boleh disabitkan bersalah dan dihukum penjara ketika memegang jawatan.

Beliau juga berkata penghakiman mahkamah mengekalkan status quo di mana kredibiliti Umno dan Zahid menjadi kebimbangan.

“Umno masih memikul beban yang sama seperti presidennya yang didakwa atas 47 pertuduhan rasuah.”

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula berkata, keputusan mahkamah itu boleh membantu menghapuskan persepsi bahawa Anwar akan mencampuri urusan badan kehakiman dan memastikan Zahid mendapat layanan istimewa, sambil menambah ia sebenarnya akan meningkatkan keyakinan terhadap kerajaan.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo