Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak dapat meneruskan pelaksanaan penghapusan hutang peneroka FELDA berjumlah RM8 bilion, yang diperkenalkan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ini kerana penghapusan hutang peneroka FELDA secara berterusan memberi impak besar terhadap aliran tunai entiti itu.

"Oleh itu, kutipan balik baki hutang atau pinjaman yang dikeluarkan hingga kini, perlu terus dilakukan sebagai sumber pendapatan FELDA untuk kelangsungan organisasi serta kebajikan warga peneroka.

"Hal ini disebabkan kutipan hutang peneroka FELDA adalah salah satu sumber pendapatan FELDA yang penting, bersamaan dengan 10.8 peratus jumlah pendapatan jangkaan bagi tahun ini, " katanya dalam jawapan bertulis, di Dewan Rakyat, di sini.

Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan untuk meneruskan usaha menghapuskan hutang FELDA.

Pada Julai 2021, Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri ke-8, mengumumkan kerajaan secara dasar bersetuju dengan cadangan FELDAuntuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Pengerusi PN itu dilaporkan berkata, pelupusan itu akan dilaksanakan menerusi inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat, terutama bagi generasi awal yang berkorban keringat dan air mata untuk membolehkan program rancangan pembangunan tanah berkenaan dijayakan.

Ketika itu, Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff, dipetik berkata pengumuman terbabit cukup bermakna kepada 112,638 peneroka FELDA di seluruh negara yang sememangnya menanti berita berkenaan.

Dalam pada itu, Azalina menjelaskan walaupun kerajaan tidak dapat meneruskan penghapusan hutang peneroka, FELDA tetap komited membantu golongan itu.

Beliau berkata, ia termasuk melaksanakan inisiatif bagi memastikan hutang peneroka tidak terus meningkat, terutama berkaitan hutang ladang.

"Antara usaha dilaksanakan FELDA ialah pengurangan tempoh pengurusan program pembangunan tanam semula ladang, iaitu pemberian pinjaman sara hidup disingkatkan daripada lapan kepada empat tahun.

"Selain itu, FELDA melaksanakan program tanam semula menggunakan baka sawit terbaharu yang mempunyai kadar pengeluaran hasil lebih tinggi hingga 16 tan sehektar pada bulan ke-48.

"Dengan usaha itu, pendapatan peneroka dapat ditingkatkan dalam masa lebih singkat disebabkan mereka mula dibayar hasil atau pendapatan sebenar ladang bermula tahun kelima," katanya.