NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan tidak bercadang laksana cukai karbon dalam masa terdekat -Kementerian Kewangan



KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan cukai karbon dalam masa terdekat ini, demikian menurut Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun, kementerian itu melihat terdapat keperluan jangka panjang untuk mengkaji kebolehlaksanaan cukai karbon sebagai antara instrumen yang menyokong aspirasi negara dalam mencapai pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca sebanyak 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2030, seperti yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

"Kajian pelaksanaan cukai karbon perlu dibuat secara komprehensif bagi mengenal pasti mekanisme yang bersesuaian di negara ini serta impak pelaksanaannya terhadap industri dan pengguna.

"Kajian ini juga perlu merujuk kepada amalan terbaik yang telah dilaksanakan di negara-negara lain yang telah terdahulu melaksanakan cukai karbon," kata Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Kementerian Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang meminta ia menjelaskan sama ada kerajaan bercadang mengenakan cukai atau memberi insentif karbon untuk menggalakkan penggunaan tenaga hijau yang lebih mesra alam sekitar.

Menurut kementerian tersebut, mekanisme pelaksanaan cukai karbon juga perlu berpandukan dasar berkaitan mitigasi karbon yang dirangka oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta selari dengan Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 yang disasarkan di bawah Dasar Tenaga Negara. 

Di samping itu, formulasi dasar cukai karbon perlu turut diselaraskan dengan dasar pemberian subsidi ke atas bahan api supaya kedua-dua objektif dasar tersebut tidak bercanggah antara satu sama lain.

"Kerajaan turut memberi fokus kepada keperluan untuk pembangunan negara melalui pertumbuhan hijau yang memberi penekanan kepada pembangunan rendah karbon, kecekapan dan kemampanan sumber serta pemeliharaan alam sekitar," katanya. 

Bagi menggalakkan penggunaan teknologi hijau dan sumber yang boleh diperbaharui sebagai  satu inisiatif menyokong aspirasi negara, kerajaan pada masa ini telah menyediakan beberapa insentif cukai, antaranya; Green Investment Tax Allowance (GITA) iaitu Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus diberi kepada syarikat yang membuat perbelanjaan modal bagi menjalankan aktiviti hijau yang layak. Elaun ini boleh ditolak sehingga 70 peratus daripada pendapatan berkanun.

Selain itu, kerajaan juga menyediakan Green Income Tax Exemption (GITE) iaitu pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus ke atas pendapatan berkanun yang diberikan kepada syarikat yang menjalankan aktiviti perkhidmatan hijau yang layak termasuk aktiviti solar leasing.

Selain itu, kerajaan turut menyokong usaha untuk meningkatkan mobiliti mesra alam ke arah mencapai status Negara Rendah Karbon, dengan menggalakkan pembangunan dan penggunaan kenderaan mesra alam yang mengurangkan pencemaran udara. 

Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan turut menyediakan insentif cukai seperti pengecualian duti import sepenuhnya ke atas komponen kenderaan elektrik pemasangan tempatan; pengecualian duti eksais dan cukai jualan sepenuhnya ke atas kenderaan elektrik pemasangan tempatan; pengecualian duti import dan duti eksais sepenuhnya ke atas kenderaan elektrik import; dan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 bagi kos pemasangan, sewaan, dan pembelian termasuk sewa-beli peralatan atau yuran langganan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik.

-- BERNAMA 


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo