NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Fatwa Johor larang umat Islam sertai ‘ritual agama lain’

Majlis Agama Islam Johor akan menemui ketua keagamaan dan pengurus rumah ibadah bukan Islam bagi memberi penerangan dan penjelasan mengenai garis panduan itu

JOHOR BAHRU: Majlis Agama Islam Johor (MAINJ) mengeluarkan fatwa mengenai larangan ke atas orang Islam menghadiri upacara ritual perayaan agama lain di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ia sebagai menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memperkenan fatwa itu berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata, ulama daripada empat mazhab, iaitu Syafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali sepakat hukum umat Islam menghadiri upacara perayaan keagamaan bukan Islam adalah haram dan dilarang.

“Upacara ritual keagamaan bukan Islam ini termasuklah di rumah ibadat mahupun di tempat lain yang biasa dilaksanakan ritual tersebut.

“Bagaimanapun, menurut sebilangan ulama, hukum meraikan undangan atau jemputan ke majlis sempena perayaan bukan Islam tanpa upacara ritual keagamaan adalah harus dan dibenarkan,” katanya di Pusat Islam Iskandar di sini.

Fared berkata, dengan fatwa ini, ia diharapkan dapat memberi kefahaman kepada umat Islam negeri itu yang segelintirnya sudah menjadi kebiasaan menyantuni kaum lain dalam usaha mengekalkan keharmonian antara kaum.

Dalam masa sama, beliau berkata, satu garis panduan dan kriteria juga dikeluarkan bagi menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri umat Islam.

“Antaranya, majlis tersebut tidak disertakan upacara yang bertentangan akidah Islam dan terdapat perbuatan seperti menyertakan simbol agama atau menyanyikan lagu bercirikan agama.”

Selain itu, katanya, majlis itu juga tidak disertakan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam, seperti ucapan yang menghina dan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.

Justeru, Fared menerusi MAINJ akan menemui ketua keagamaan serta pengurus rumah ibadah bukan Islam bagi memberi penerangan dan penjelasan mengenai garis panduan itu.

“Larangan ini tidak bermaksud untuk mengganggu keharmonian antara kaum, tapi sekadar memberi nasihat serta panduan agar pemimpin masyarakat berhati-hati dalam menyatakan kebersamaan dan tidak melanggar batas-batas tertentu.”

Menurutnya, individu yang melanggar garis panduan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo