NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bukan tugas kami bantu Ahli Parlimen bangun kawasan, kata kumpulan peniaga

Chin Chee Seong berkata, PKS sudah sekian lama membantu negara dengan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dan sebagai rakyat. (Gambar Twitter)


PETALING JAYA: Sebuah kumpulan perniagaan menolak cadangan agar sektor swasta membantu Ahli Parlimen membangunkan kawasan, dengan berkata ahlinya tidak dapat mewajarkan perbelanjaan bagi tujuan itu.

Mengulas gesaan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Setiausaha Agung Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia Chin Chee Seong berkata: “Memperuntukkan dana membantu pembinaan jalan dan jambatan bukan tugas kami.

“Apa yang diminta (Fahmi) adalah sumbangan individu kepada Ahli Parlimen. Sangat sukar untuk mewajarkannya.”

Pada Isnin, Fahmi menggesa sektor swasta agar menyumbang kepada Ahli Parlimen susulan langkah kerajaan mengurangkan elaun pembangunan hampir 70%, daripada RM3.8 juta kepada hanya RM1.3 juta.

Chin berkata, akan timbul kebimbangan dalam kalangan peniaga mengenai ketelusan berhubung bagaimana sumbangan mereka akan dibelanjakan.

Tambahnya, akan timbul juga risiko peniaga cuba mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen.

Beliau berkata, PKS sudah sekian lama membantu negara dengan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dan sebagai rakyat, menyumbang kepada golongan yang memerlukan.

Sebuah lagi kumpulan PKS, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), mempunyai perspektif berbeza. Pengerusinya, William Ng berkata, ramai antara ahlinya “dengan gembira akan menyumbang” kepada pembangunan negara.

Beliau mendakwa, komuniti perniagaan tidak pernah menolak seruan kerajaan untuk membantu, dan mengambil maklum peranan penting mereka dalam membantu masyarakat ketika wabak Covid-19 dan bencana banjir yang melanda pada penghujung 2021.

Bagaimanapun, beliau menyeru agar “retorik yang menggambarkan peniaga sebagai musuh” dihentikan jika kerajaan berhasrat melibatkan komuniti perniagaan sebagai rakan kongsi.

“Sebagai contoh, kita dapat lihat setiap kali berdepan kenaikan kos, perniagaan dipersalahkan kerana mencatut, sedangkan hakikatnya ramai antara kami juga berdepan tekanan sama,” katanya.

Ng juga berkata, beliau menantikan Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Feb untuk melihat sama ada kerajaan memperkenalkan pengurangan cukai bagi perniagaan yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat atau infrastruktur.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Pasar Raya Mydin Ameer Ali Mydin berkata, beliau mengambil maklum cadangan Fahmi itu. Katanya, pembangunan akan menggalakkan orang ramai berbelanja lebih di kawasan-kawasan terbabit, menjurus kepada hasil jualan lebih bagus bagi pengusaha tempatan.

Bagaimanapun, katanya, lebih penting untuk kerajaan terlebih dahulu menangani ketirisan dan pendekatan meluaskan asas pendapatan, khususnya menerusi pengenalan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Bulan lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, negara mampu menjimatkan sehingga RM10 bilion dengan mengurangkan ketirisan dalam sistem perolehan kerajaan.

Tambahnya, beliau menjangkakan penjimatan sehingga RM4 bilion selepas mengambil alih Kementerian Kewangan dalam tempoh kurang dua bulan.


Sumber I FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo