NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bersalah atau tidak, Ahmad Zahid tetap liabiliti kerajaan Anwar - Penganalisis


PUTRAJAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tetap menjadi liabiliti dalam kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada keputusan mahkamah akan mensabitkannya dengan hukuman atau sebaliknya.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, dalam hal ini, Anwar kena bijak mengatur strategi agar kerajaan pimpinannya kekal utuh dengan UMNO memberikan sokongan berterusan kepadanya.

Beliau berkata, selain perlu menjawab dengan ahli-ahli UMNO yang tidak suka dengan Ahmad Zahid, Anwar juga perlu licik untuk memberi penjelasan kepada rakyat tentang apa kebaikan Presiden UMNO itu dalam kerajaan Anwar.

“Jadi betul juga Ahmad Zahid itu adalah liabiliti sebab ahli-ahli UMNO akan bertanya kepada Anwar apa kebaikan beliau dalam kerajaan Anwar.

“Saya percaya kerajaan Anwar pun tak nak Ahmad Zahid, tetapi kerana sudah termaktub beliau adalah ketua parti, jadi kena ambil beliau sebab tidak ada pilihan.

“Kalau diberi peluang dan ada orang lain, saya percaya ada orang lain akan menggantikan Ahmad Zahid. Tetapi sebab beliau tak nak turun (lepaskan jawatan) maka beliau kekal di situ,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini, Anwar memberi jaminan bahawa Ahmad Zahid akan diadili secara bebas dan beliau tidak akan mendahului keputusan mahkamah.

Rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Ahmad Zahid berhubung kes rasuah membabitkan Sistem Visa Luar Negara (VLN) dan pusat sehenti ditetapkan untuk pengurusan kes pada 17 Februari ini.

Ini termasuk perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) pada 7 feb ini.

Salawati berkata, Anwar perlu mempunyai strategi dan plan kedua sama ada Ahmad Zahid didapati bersalah atau tidak.

“Kalau tak bersalah sekali pun, kena ada plan sebab setiap keputusan menyebabkan rakyat melihat apa tindakan Anwar setiap masa.

“Jadi Anwar perlu ada strategi A dan B kedua-duanya,” katanya. -UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo