NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Akta insolvensi akan dipinda, baiki sistem bankrap

PETALING JAYA: Kerajaan sedang merumuskan beberapa pindaan di dalam Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) bagi menambah baik sistem kebankrapan di negara ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan pindaan berkenaan dijangka dibentang dalam mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat selepas mengambil kira input sesi libat urus bersama pemegang taruh pada 7 Februari ini. 

Katanya, cadangan pindaan yang sedang dipertimbang iaitu penetapan had masa pemfailan Borang Bukti Hutang oleh Pemiutang (Seksyen 42 dan Jadual C Akta 360) dan untuk mengelakkan isu kelewatan pemfailan yang boleh menyukarkan pelepasan individu bankrap. 

Selain itu, katanya, ia bagi membuat penambahbaikan kepada peruntukan pelepasan automatik bawah Seksyen 33C Akta 360 supaya individu yang bankrap boleh dilepaskan daripada kebankrapan dalam tempoh lebih singkat.

“Kerajaan juga melihat cadangan untuk membolehkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi jarak jauh dalam urusan pentadbiran kes kebankrapan bagi memudahkan urusan pelanggan, pemegang taruh dan jabatan. 

“Selain itu, kerajaan membuat penambahbaikan kepada Seksyen 42 dan Jadual C Akta 360 dengan memansuhkan kewajipan untuk mengadakan mesyuarat pertama pemiutang agar pentadbiran kebankrapan boleh diteruskan dengan segera.

“Cadangan lain adalah menambah kategori kes yang boleh dilepaskan melalui Sijil Pelepasan (Sijil KPI) tanpa bantahan oleh pemiutang seperti golongan bankrap yang berusia 70 tahun dan ke atas dan individu bankrap yang tidak berkeupayaan kerana disahkan sebagai pesakit mental di bawah Akta Kesihatan Mental 2001 [Akta 615],” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, jumlah individu bankrap boleh mencecah lebih 30,000 kes tahun ini kerana semakin ramai peminjam tidak mampu membayar ansurans bulan jika Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan sehingga 3.25 peratus. 

Jumlah itu berdasarkan jangkaan pertambahan sebanyak 10,000 lagi kes kes individu muflis tahun ini selepas 20,258 kes dicatatkan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 antara 2020 hingga November 2022. 

AZALINA OTHMAN SAID

Mengulas lanjut, Azalina berkata, jabatan itu juga melihat cadangan untuk menyelaras nilai harta bankrap termasuk peralatan kerja yang boleh dikecualikan untuk dibahagi kepada pemiutang bawah seksyen 48(1)(a)(ii) Akta 360 dengan keadaan ekonomi dan kos sara hidup semasa. 

“Ini juga untuk menyelaras nilai ambang bagi pentadbiran kes kebankrapan kecil bawah seksyen 106 Akta 360 dan had gaji ‘wage-earner’ bawah seksyen 107 Akta 360 dengan keadaan ekonomi dan dasar gaji minimum,” katanya. 

Kata Azalina, jumlah kes kebankrapan bagi tahun 2022 adalah sebanyak 5,695 kes dan jumlah kes kebankrapan yang didaftarkan bagi 2018 sehingga 2022 sebanyak 49,133 kes. 

Beliau berkata, jumlah kes kebankrapan yang dilepaskan oleh Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) melalui Sijil KPI bawah seksyen 33A Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] bagi tempoh sama sebanyak 87,427 kes.

Jelasnya, statistik 2022 menunjukkan secara purata sebanyak 16 kes kebankrapan didaftar setiap hari, manakala jumlah kes kebankrapan yang dilepaskan melalui Sijil Pelepasan KPI bagi tempoh yang sama secara purata adalah sebanyak 27 kes setiap hari. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo