Seorang warga emas dan dua beradik antara empat individu didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini, atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 keseluruhan berjumlah RM234,800 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dua tahun lalu.

MELAKA – Seorang warga emas dan dua beradik antara empat individu didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini, atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 keseluruhan berjumlah RM234,800 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dua tahun lalu.

Keempat-empat tertuduh iaitu warga emas, Lajis Majid, 64, Mohamad Firdaus Fauzi, 28, dan adiknya, Muhammad Danish, 22 selain Muhammad Ammar Roslan, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mohamad Firdaus berdepan tiga pertuduhan manakala tiga lagi tertuduh masing-masing satu pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Mohamad Firdaus didakwa mengemukakan butiran palsu atas nama perusahaan FF Kudrat Enterprise bertarikh 26 Februari 2021 dan 17 Mei 2021 dan perusahaan Hijrah Legacy Enterprise bertarikh 11 Mei 2021.

Ia melibatkan senarai nama pekerja tidak wujud untuk menuntut insentif berjumlah berjumlah RM93,800 di bawah Program Penjana 2.0 Perkeso sedangkan senarai tujuh pekerja yang dinamakan bukan pekerja syarikat berkenaan.

Muhammad Danish turut didakwa atas kesalahan sama dengan mengemukakan butir nama pekerja baharu yang bukan pekerja atas nama Dniez Enterprise bertarikh 29 Mei 2021 melibatkan tuntuan berjumlah RM36,400.

Manakala Lajis didakwa melakukan kesalahan sama atas nama LBM Niaga Enterprise pada 8 Mei 2021 bagi menuntut insentif berkenaan berjumlah RM55,900.

Semua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Pejabat Perkeso negeri Melaka dan jka disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir matan palsu itu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM35,000 terhadap Mohamad Firdaus bagi tiga pertuduhan, manakala Muhammad Danish, RM10,000, Muhammad Ammar, RM20,000 dan Lajis, dan RM25,000.

Semua tertuduh juga diperintah melaporkan diri di pejabat SPRM Melaka sekali sebulan dan menetapkan 23 Februari depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette.