NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiada perkaitan antara vaksin bivalent dengan strok, kata Noor Hisham

Vaksian bivalent Pfizer diluluskan pendaftaran bersyarat di Malaysia pada 13 Dis dan orang ramai boleh mendapatkan vaksin itu menjelang akhir bulan ini
PETALING JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiada kaitan vaksin bivalent Covid-19 keluaran Pfizer dengan serangan strok dalam kalangan warga emas.

Noor Hisham berkata, laporan terbaru Reuters itu berdasarkan maklumat daripada Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) mengenai signal keselamatan yang telah dikesan daripada salah satu pangkalan data pengawasan keselamatan.

Pada Jumaat lalu, agensi itu berkata, Data Keselamatan Vaksin (VSD) CDC menemui kemungkinan isu keselamatan di mana individu berusia 65 tahun ke atas kemungkinan mengalami strok iskemik 21 hari selepas menerima vaksin bivalent Pfizer berbanding hari ke 22 hingga 44.

Strok iskemik berpunca daripada saluran darah ke otak tersumbat.

“Semua signal keselamatan yang dikesan perlu disiasat dan dinilai terlebih dahulu sebelum disahkan.

“Setakat ini tiada signal keselamatan iskemik strok dikesan melalui lain-lain sistem pemonitoran keselamatan di AS (contohnya Vaccine Adverse Event Reporting System – VAERS), iaitu susulan penggunaan vaksin bivalent Covid-19.

“Analisis lanjut juga tidak mengesahkan signal keselamatan tersebut. Pemantauan keselamatan vaksin Covid-19 di negara rujukan yang lain juga tidak mengesan isu keselamatan ini,” katanya dalam kenyataan.

Vaksian bivalent Pfizer diluluskan pendaftaran bersyarat di Malaysia oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah pada 13 Dis, dan dijangka mula diberi kepada orang ramai menjelang akhir bulan ini.

Noor Hisham berkata, berdasarkan data yang dikemukakan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) oleh pihak syarikat pemegang pendaftaran produk, Pfizer Sdn Bhd, tiada pelaporan kes strok untuk vaksin bivalent covid-19 di dalam kajian klinikal yang dijalankan.

Katanya, NPRA sentiasa memantau data dan analisis berkaitan pengunaan vaksin bivalent di negara lain.

Vaksin bivalent adalah vaksin terbaru Covid-19 yang bertujuan memberi perlindungan lebih baik kepada subvarian yang baharu.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo