NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Status lima ADUN UMNO Sabah diputuskan melalui lembaga disiplin

KOTA KINABALU: Status lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan diputuskan melalui Lembaga Disiplin UMNO.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pandangan semua pihak telah  didengar dan beliau menghargai perbezaan pandangan yang diberikan.

Namun, katanya, apa yang akan dilakukan adalah mencari penyelesaian secara damai.

“Kita mempunyai Lembaga Disiplin UMNO. Jadi proses itu mesti dilakukan oleh Lembaga Disiplin baru diserahkan kepada Majlis Tertinggi untuk lakukan keputusan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Perhubungan UMNO Negeri Sabah hari ini.

Ahmad Zahid berkata, isu mengenai ADUN UMNO Sabah akan diselesaikan secara berasingan.

Malah, sebahagian penyelesaian telah pun dikenal pasti dan langkah penyelesaian secara damai akan diumumkan kemudian.

Mengulas lanjut katanya, UMNO juga tidak berada dalam dilema untuk menentukan tindakan yang akan dikenakan terhadap ADUN UMNO Sabah.

“Kita langsung tidak dilema kerana perkara ini cukup jelas. Namun, tindakan yang diambil perlu dilihat sebagai sesuatu yang adil, parti perlu dilihat adil terhadap semua ahli,” katanya.

Sebelum ini, lima ADUN UMNO  menyatakan sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor secara terbuka selepas Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama sebahagian pemimpin UMNO bertindak menarik sokongan daripada Hajiji selaku Ketua Menteri.

Lima ADUN UMNO itu adalah Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin). – UTUSAN


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo