NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Korea Utara nafi tuduhan bekal senjata kepada Russia

SEOULKorea Utara menafikan tuduhan terhadap pihaknya yang dikatakan menyalurkan senjata kepada Russia untuk berperang dengan Ukraine.

Tuduhan itu timbul apabila Amerika Syarikat (AS) mendakwa negara bersenjata nuklear itu membekalkan roket dan peluru berpandu kepada kumpulan tentera upahan Russia, Wagner.

AS awal bulan ini menamakan kumpulan Wagner sebagai organisasi jenayah transnasional dan menuduh berlaku urusan senjatanya dengan Pyongyang yang melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB.

Menurut Jurucakap Keselamatan Negara AS, John Kirby, White House menunjukkan gambar risikan AS mengenai kereta rel Russia memasuki Korea Utara dan mengambil muatan roket infantri serta peluru berpandu sebelum kembali ke Russia.

Dalam satu kenyataan rasmi Agensi Berita Pusat Korea, seorang pegawai kanan Korea Utara menolak tuduhan itu dan memberi amaran bahawa AS akan berdepan dengan impak yang sangat tidak diingini jika ia berterusan menyebarkan khabar angin berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal AS, Kwon Jong Gun berkata, tuduhan tersebut cuba memburukkan imej Korea Utara dengan mengada-adakan perkara yang tidak wujud.

Katanya, ia adalah provokasi besar yang tidak boleh dibenarkan dan itu tidak boleh.

“Percubaan bodoh untuk membenarkan tawaran senjatanya kepada Russia,” ujarnya.

Awal minggu ini, Presiden AS, Joe Biden menjanjikan 31 kereta kebal Abrams, salah satu senjata paling berkuasa dan canggih dalam tentera AS, untuk membantu Ukraine melawan pencerobohan Russia.

Tindakan itu bagaimanapun mendapat teguran daripada Kim Yo Jong, kakak kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un yang menuduh AS melampaui batas dengan menghantar kereta kebal ke Ukraine.

Selain Syria dan Russia, Korea Utara adalah satu-satunya negara yang mengiktiraf kemerdekaan Luhansk dan Donetsk, dua wilayah pemisah yang disokong Russia di timur Ukraine.

Russia merupakan satu daripada lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mempertahan Korea Utara kerana bersenjata nuklear, malah meminta pelepasan daripada sekatan antarabangsa atas sebab kemanusiaan.

Jong Un mengisytiharkan Korea Utara sebagai negara nuklear pada September tahun lalu dan negara itu menjalankan ujian senjata setiap bulan pada tahun lepas termasuk menguji peluru berpandu balistik antara benua yang paling canggih. –AFP

 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo