NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Stabilkan telur perlukan masa – Mohamad Sabu

KOTA BHARU: Usaha menstabilkan bekalan telur di pasaran sehingga mampu menampung keperluan rakyat memerlukan masa, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu. 

Beliau berkata, pelbagai usaha yang sedang dilakukan ketika ini termasuk mengimport telur dari negara lain.

“Dalam isu ini, kita tidak boleh menentukan tempoh masa kerana ia melibatkan soal makanan. Kalau banjir, kita boleh tahu jumlah kerosakan.

“Penyakit ayam nak datang, kita tidak boleh nak tahu (ramalkan). Tetapi kerajaan cuba untuk menstabilkan bekalan,” katanya selepas menyampaikan Kits Bantuan Bencana Banjir kepada warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) Kelantan di Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Kota Raja itu mengakui sebanyak RM111.95 juta kerugian dialami oleh sektor pertanian dan agro makanan negara akibat Monsun Timur Laut (MTL) pada Disember lalu.

Katanya, maklumat tersebut berpandukan kepada laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Pengurusan Bencana MAFS.

“Jumlah itu melibatkan kawasan pertanian seluas 24.7 ribu hektar dengan anggaran seramai 12,000 orang petani dan penternak serta pengusaha agromakanan seluruh negara yang terkesan.

“Bagi meringankan beban mereka yang terkesan, peruntukan RM1 juta disediakan melalui MAFS Prihatin,” ujarnya.

Mohamad berkata, sebanyak RM2.45 juta sudah diperuntukkan oleh kerajaan menerusi FAMA, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk disampaikan kepada komuniti agromakanan.

Katanya, MAFS melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah memberikan peruntukan berjumlah RM1 juta berupa bantuan makanan dan ubat-ubatan untuk haiwan ternakan. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo