Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan

Shah Alam: Sistem pertahanan udara negara akan terus dipertingkatkan dengan memperkasa kesiapsiagaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi mengimbangi kemampuan pertahanan udara negara jiran.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan, berkata banyak lagi ruang tambah baik dalam sistem pertahanan udara negara perlu diisi, berbanding sistem pertahanan udara negara jiran yang dilihat lebih ke hadapan.

"Negara jiran lebih advance (ke hadapan) daripada apa yang kita ada. Kita bukan hendak bersaing, tetapi kita mahu supaya pertahanan negara kita ini dalam keadaan yang siap siaga."Kita tidak boleh tahu apa yang akan terjadi, maka kesiapsiagaan itu penting. Untuk itu, kita perlu melengkapkan kesiapsiagaan terutama aset utama dalam Angkatan Tentera, khususnya TUDM,' katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan kerja ke Markas Operasi Udara dan Pangkalan Udara Subang, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan; Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Muhamad Norazlan Aris dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Pada tinjauan itu, Mohamad diberikan taklimat berkenaan fungsi dan peranan serta pengoperasian Markas Pemerintahan Operasi Udara, selain aset penerbangan dari semua skuadron penerbangan TUDM di Hangar No 8 Skuadron.

Pameran statik juga diadakan membabitkan pesawat Su-30MKM, F/A-18D Hornet, A400M, C-130H, CN235, Beechcraft B200T, Bormbadier BD-700 Global Express, KA350i dan helikopter S-70A.

Mohamad turut menyampaikan sumbangan kebajikan kepada enam anggota TUDM yang menghidap penyakit kronik.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, walaupun berdepan kekangan seperti masalah kekurangan aset udara dan kerosakan pada aset udara serta peralatan sedia ada, TUDM tetap bersemangat untuk memberi perkhidmatan terbaik mengawal keselamatan negara.

"Banyak kekangan kerja, termasuk dari segi aset utama yang kita ada, banyak yang sudah berumur dan sudah patut dah 'decommission' (ditamatkan perkhidmatan) tetapi masih juga digunakan lagi dan banyak juga aset sedia ada, mempunyai kerosakan," katanya.

Mengenai penambahan aset TUDM, Mohamad berkata, keutamaan kementerian pada masa ini adalah untuk memperoleh pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA).

"Kita akan minta semula Jemaah Menteri Kabinet baharu ini untuk mengabsahkan perolehan itu, iaitu sebanyak 18 buah FLIT. Kita jangka aset berkenaan akan diperoleh pada 2025," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga memberi perhatian serius berhubung kesiapsiagaan TUDM dalam menangani keselamatan perang siber atau 'cyber warfare'.