NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muhyiddin jawab isu fitnah seleweng RM 92.5 billion

FITNAH TERHADAP BERSATU
1.YAB Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah membuat kenyataan bahawa Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM600 billion telah diselewengkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) semasa saya menjadi Perdana Menteri.

2. Kenyataan itu jelas palsu apabila mantan Menteri Kewangan kerajaan PN, YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, mengesahkan bahawa segala perbelanjaan yang melibatkan 8 Pakej Rangsangan Ekonomi diurus secara telus. Kenyataan beliau boleh dibaca di sini.


Tengku Zafrul kini adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kabinet kerajaan PH-BN.  

3.Kemudiannya, isu RM600 bilion tidak disebut lagi. Ini kerana sebahagian besar daripada jumlah ini adalah berbentuk non-fiskal, iaitu bukan perbelanjaan dana kerajaan. Ini termasuklah moratorium bank dan pengeluaran KWSP yang tidak melibatkan wang kerajaan. 

4.Dana yang berbentuk fiskal, iaitu yang melibatkan wang kerajaan ialah sebanyak RM92.5 bilion. Semasa saya menjadi Perdana Menteri, jumlahnya RM83 bilion tetapi telah meningkat selepas itu. 

5. Kerana itulah, tohmahan yang dilemparkan kepada saya dan BERSATU kini tertumpu kepada dakwaan penyelewengan dana berjumlah RM92.5 bilion. Kononnya, saya telah mengarahkan individu tertentu untuk mengutip 3%-5% komisen daripada keseluruhan dana ini untuk dimasukkan ke dalam akaun BERSATU. Jadi, atas andaian ini mereka memfitnah kononnya BERSATU mempunyai dana pilihanraya berjumlah RM4.5 bilion yang digunakan semasa PRU-15. 

6. Kerana itulah PN dikatakan berbelanja besar dan mewah semasa PRU-15 yang lalu sehingga ada pemimpin politik BN menuduh PN membeli undi untuk menang.

7. Ini adalah suatu pembohongan maha dahsyat yang disandarkan kepada cerita rekaan atas rekaan. Penyelewengan dana RM92.5 bilion itu adalah satu rekaan. Perbelanjaan fiskal di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi bukan dalam bentuk projek yang boleh diselewengkan, tetapi sebahagian besarnya adalah pemberian tunai langsung kepada rakyat (direct cash transfer) seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Geran Prihatin dan Subsidi Upah. Bagaimana dana ini boleh diseleweng jika ia merupakan pemberian tunai langsung kepada rakyat?

8. Kutipan komisen 3%-5% daripada perbelanjaan fiskal ini juga adalah rekaan. Bagaimana saya boleh kutip komisen daripada perbelanjaan ini? Adakah 10.6 juta rakyat yang menerima BPN memberi komisen kepada saya? Adakah 2.96 juta pekerja yang menerima subsidi upah memberi komisen kepada saya? Tentu sekali tidak.

9. Jadi kalau mereka tidak memberi komisen kepada saya seperti yang didakwa, dari mana datangnya RM4.5 bilion untuk BERSATU yang kononnya diseleweng daripada dana RM92.5 bilion itu? Ini jelas merupakan satu cerita rekaan yang karut dan merepek. Hakikatnya, tidak ada dana RM4.5 bilion dalam akaun BERSATU atau akaun saya. 

10. Sebagai sebuah parti politik, BERSATU mempunyai dana hasil sumbangan pihak-pihak yang menyokong perjuangan BERSATU. Akaun parti BERSATU diurus secara telus di mana setiap terimaan dan perbelanjaan direkod, diaudit dan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan mengikut kehendak perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966. 

11. Sumbangan untuk dana pilihan raya juga dimasukkan ke dalam akaun parti. Walaupun negara kita masih belum mempunyai undang-undang pendanaan politik, saya percaya setiap sumbangan yang diterima oleh BERSATU tidak menyalahi mana-mana undang-undang atau peraturan yang sedang berkuatkuasa.

12. Mengenai perbelanjaan pilihan raya PN yang dikatakan mewah dengan bendera, baju dan “merchandise” yang banyak, saya hendak ceritakan perkara yang sebenarnya. Sebagai langkah penjimatan, BERSATU telah mencetak bendera dan merchandise PN secara “bulk order” dua tahun lebih awal dengan kos hampir empat kali ganda lebih murah berbanding jika ia dicetak hampir dengan tarikh pilihan raya.

13.Sebab itulah PN membuat keputusan untuk tidak menukar bendera dan logo yang digunakan dalam PRU-15 walaupun ada cadangan sedemikian. Ini kerana kita telah menyimpan stok lebih awal. Jika hendak dicetak semula, semua stok yang ada akan dibazirkan selain perlu menanggung kos yang berkali ganda lebih tinggi untuk mencetak bendera dan “merchandise” yang baharu. PN tidak ada dana untuk tujuan itu.

14. Jadi, janganlah reka cerita palsu dan menabur fitnah kononnya BERSATU mempunyai dana berbilion ringgit semata-mata untuk mencemarkan imej BERSATU dan PN.

15. Apa motif PH-BN hampir setiap hari melemparkan tohmahan terhadap PN dan secara berterusan melakukan witch-hunting? Yang terkini, penahanan reman Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut untuk tujuan siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan dana RM92.5 bilion juga dikaitkan dengan saya. 

16. Jawapannya mudah. PH-BN takut dengan bayang-bayang mereka sendiri. Mereka gelisah melihat PN mendapat sokongan sekurang-kurangnya 62% orang Melayu dan Bumiputera dalam PRU-15. Dengan tindakan BN bergabung dengan PH, sokongan kepada gabungan yang terbentuk atas pembohongan kepada pengundi ini akan lebih merosot, sepertimana yang terbukti dalam PRK Padang Serai dan PRK Tioman. 

17. Jadi saya fikir mereka gentar menghadapi kemaraan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melibatkan enam buah negeri di Semenanjung Malaysia dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Kerana itu, kerajaan PH-BN akan terus melakukan pembunuhan karakter (character assasination) terhadap PN dan saya dengan melemparkan pelbagai tohmahan jahat yang tidak berasas. 

18. Saya tidak menolak kemungkinan tohmahan penyelewengan RM600 bilion direka supaya tindakan undang-undang terhadap BERSATU dapat diambil dengan tujuan untuk melemahkan jentera pentadbiran BERSATU sehingga sukar menghadapi PRN akan datang. Saya harap ini tidak benar dan menyerahkan kepada pihak SPRM untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil.

19. Saya yakin siasatan SPRM setakat ini akan mendapati bahawa tohmahan terdapat RM4.5 bilion dalam akaun BERSATU atau akaun saya adalah palsu. Saya tidak pernah mengambil walau satu sen pun wang yang bukan hak saya. 

20. Sehubungan itu, BERSATU akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam menjalankan siasatan.

TAN SRI DATO' HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia

10 Januari 2023

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo